ASPEK paling bahaya dalam normalisasi antara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Israel adalah implikasinya terhadap status Masjid Al-Aqsa.
Buat pertama kalinya dalam sejarah konflik Arab-Israel, sebuah negara Arab menjadi barisan depan membentuk perubahan status kepada Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa yang diceroboh Israel.
UAE adalah negara yang kini menjadi kontroversi. Perjanjian yang dimeterai dengan Israel pertama kalinya membataskan hak orang Islam untuk masuk ke Masjid Al-Aqsa ke ruang solat di sebelah selatan Al-Aqsa Sharif itu.
Puak Israel menggelar Masjid Al- Aqsa sebagai tapak The Temple Mount (kuil Yahudi) padahal seluruh Muslim dan resolusi antarabangsa menetapkan ia Masjid Al-Aqsa.
Israel mahu sebuah negara Arab alternatif untuk mengabsahkan apa saja yang dilakukan Israel ke atas Palestin.
Ini adalah inti sari kepada Deal of the Century (Perjanjian Abad Ini) yang direka Donald Trump dan menantunya yang juga penasihat kanannya, Jared Kushner.
Perjanjian Abad Ini itu berasaskan strategi melintas perundingan dengan Palestin dan jika ada apa-apa urusan dengan mereka, dianggap mereka adalah kumpulan minoriti dalam negara yang digelar Israel.
Dengan itu, warga Palestin dilayan sebagai minoriti dan tertakluk kepada hak kumpulan minoriti tetapi tidak berhak untuk mendapat status sebagai sebuah negara yang merdeka.
Hubungan UAE-Israel dalam perjanjian itu juga melintas warga Palestin dan mengetepikan kewujudan mereka.
Ia mempromosi kepentingan Israel untuk menghapuskan sebarang kehadiran Palestin di tanah mereka termasuk perwakilan Palestin yang rasmi, malah ia menolak kewujudan Organisasi Pembebasan Palestin (PLO) itu sendiri.
Perjanjian itu adalah rundingan rahsia yang tidak melibatkan Palestin. Perancang perjanjian itu hanya menggunakan Palestin sebagai alasan supaya UAE boleh mendakwa rancangan merampas Tebing Barat oleh Israel dibatalkan sebagai syarat perjanjian itu disepakati kedua-duanya.
Akan tetapi, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kemudian menafikan syarat itu dan mendedahkan ia tidak ada kaitan dengan pelan aneksasi (pengilhakan) Tebing Barat.
Pelan itu hanya ditunda, bukan dibatalkan. Menubuhkan status baharu kepada Baitulmaqdis (Jerusalem) dan Masjid Al-Aqsa lebih bahaya daripada semua ini.
Keputusan UAE itu diambil tanpa perundingan dengan mana-mana pihak Palestin, Arab atau insitusi berautori Islam atau OIC. Pihak Palestin, pemilik sah bumi Palestin yang diceroboh – tidak ada sebarang maklumat mengenai rencana yang digerakkan oleh UAE.
Kini Masjid Al-Aqsa terdedah kepada pelan pengambilalihan secara total oleh Israel. Rancangan Judaization masjid itu akan dilaksana sepenuhnya, proses pemusnahannya akan bergerak lebih pantas dan pelan akhirnya untuk membina kuil Yahudi di atas tapak Masjid Al-Aqsa akan dilaksanakan.
Projek Kushner berasas Arabization isu Jerusalem dan Masjid Al-Aqsa, yang sebenarnya adalah isu Islam.
Apa yang dimahu Kushner adalah supaya rancangan perjanjian abad itu ditaja rejim Arab yang beraliansi dengan Israel supaya Tel Aviv mendapat sebuah negara Arab untuk bersetuju meluluskan apa saja yang mahu dilakukan Israel ke atas kota suci Baitulmaqdis itu.
Ini kerana Amerika dan Israel tahu segala ketetapan yang diluluskan ke atas Palestin tidak boleh diterima mana-mana pihak Palestin atau Jordan.
Langkah diambil Israel itu jelas melanggar segala perjanjian terdahulu yang Israel meterai bersama Arab termasuk Perjanjian Damai Wadi Arab dengan Jordan.
Inilah sebabnya Israel terpaksa merujuk kepada rakannya di negara Teluk yang sebelum ini telah menekan pihak berkuasa Palestin dan Jordan, tetapi ditentang keras.
Kini negara-negara Teluk itu berubah pendirian, berkomunikasi langsung dengan Israel dan menyerahkan suatu yang bukan milik mereka iaitu bumi Palestin kepada Israel.
Semua ini nampaknya bakal berlaku akibat pemimpin Arab diperkuda Amerika.
* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu