Lapor segera jika diugut peminta sedekah

Iklan
Tular dua lelaki warga asing yang didakwa meminta derma dari rumah ke rumah. (Gambar kanan, Baharudin Abdullah)

DUNGUN - Orang ramai diminta berwaspada dengan peminta sedekah yang datang ke rumah atau meminta wang di tempat awam kerana dikhuatiri ada pihak disyaki cuba menipu dan mengambil kesempatan.

Sebelum ini tular dua lelaki warga asing meminta wang daripada orang ramai dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

Menerusi status dimuat naik seorang wanita di laman sosial Facebook, dua lelaki meminta derma dengan menetapkan harga RM100 ke atas.

Lelaki warga asing itu enggan menerima RM50 dan meminta sekurang-kurangnya RM100, malah mereka mengaku dari Kolej Al-Quran Terengganu (KQT).

Iklan

Kegiatan meminta derma menggunakan taktik berkenaan aktif di sekitar Dungun dan mereka pergi ke rumah-rumah untuk meminta sumbangan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sekiranya orang ramai diugut atau diperlakukan dengan kasar oleh peminta sedekah, mereka dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis.

Iklan

Menurutnya, penduduk juga diingatkan supaya tidak mudah percaya dan memberikan amaun diminta dengan mudah.

"Setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan berhubung perkara ini.

"Bagaimanapun, jika ada yang diugut oleh peminta sedekah, mereka perlu segera membuat laporan polis.

"Apabila laporan dibuat, siasatan lanjut akan dilakukan," katanya.

Beliau berkata, sebarang aktiviti meminta sedekah haruslah mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Sesiapa sahaja tidak boleh sesuka hati meminta sedekah. Tanpa surat daripada pihak berkaitan, tindakan boleh diambil terhadap mereka," katanya.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan rasmi di laman sesawang Kolej Al-Quran Terengganu menafikan pemungut derma tersebut adalah kakitangan mereka.

Pihak KQT menegaskan tiada kakitangan di bawah jabatan mereka diarah atau berperanan mengutip derma dari rumah ke rumah seperti didakwa dua lelaki asing berkenaan.