KONFLIK antara Mohamadou Sumareh dengan bekas majikannya, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dianggap lebih bersifat peribadi yang tidak akan menjejaskan statusnya sebagai pemain naturalisasi skuad Harimau Malaya.
Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pemain kelahiran Gambia berusia 26 tahun itu masih sah sebagai pemain naturalisasi selagi khidmatnya ditagih Harimau Malaya.
"Isu Sumareh dengan Pahang ini tak ada kena mengena dengan (status) naturalisasi atau tidak. Ia hanya pertikaian antara pemain dan pasukan (Pahang), tak ada melibatkan soal lain (naturalisasi).
"Bila ada panggilan mewakili negara, dia (Sumareh) kena datanglah. Dia perlu hadir jika khidmatnya masih diperlukan pasukan kebangsaan, tidak kira pada kem latihan pusat mahupun tugasan antarabangsa.
"Apa pun saya tak nampak masalah yang berlaku ini akan mengganggu fokus pemain. Contohnya Sumareh mungkin akan bertemu semula dengan bekas rakan-rakan sepasukannya dari Pahang. Saya percaya mereka akan bersikap profesional,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sejak lebih seminggu, kontroversi mengenai Sumareh hangat diperbincangkan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila dia dilaporkan tidak menghadiri sesi latihan bersama Pahang hampir sebulan.
‘Kehilangan’ Sumareh atau lebih terkenal dengan gelaran ‘Keli Boy’ didakwa berpunca akibat masalah pembayaran gaji, sekali gus menyebabkan dia mengaktifkan klausa 8.7 dalam kontraknya.
Selepas beberapa hari mendiamkan diri, Sumareh akhirnya mengesahkan dia bakal menyertai kelab Liga Thailand, Police Tero FC pada musim baharu yang bermula minggu ini.
Tindakan Sumareh itu menyebabkan PBNP bakal mengambil tindakan undang-undang terhadapnya selepas mereka mendakwa bekas pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perlis itu memungkiri janji seperti yang termaktub dalam kontraknya.
Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM memberitahu, pihaknya masih belum berbincang secara mendalam mengenai kemelut yang berlaku itu kerana mahu mengenal pasti punca sebenar Sumareh meninggalkan Pahang.
"Pada saya, kalau ada perkara yang tak puas hati dengan pasukan, lebih baik salurkan maklumat untuk rujukan FAM, barulah kita akan nilai dan beri nasihat. Mesti ada cara penyelesaian yang terbaik mengikut saluran yang disediakan.
"Isu ini tidak akan berpanjangan sekiranya dia (Sumareh) mengadakan perbincangan terus dengan pihak pengurusan Pahang. Saya cuma berharap masalah yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.