BIARPUN tampil selaku pasukan bukan pilihan, MASUM-UPM Knights bertekad memburu salah satu slot final Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen Satu.
Pengurus MASUM-UPM Knights, Mohd Razizi Midin berkata, pasukannya akan sekali lagi membariskan regu terbaik apabila turun beraksi pada perlawanan separuh akhir yang dijadualkan esok.
"Kita akan cuba berikan aksi terbaik saingan separuh akhir nanti dan jika ikut keadaan semasa, kita bakal berdepan juara Kumpulan B, Putrajaya Cyborg yang kita anggap sebagai regu yang kuat.
"Bagaimanapun, kita juga menaruh harapan kepada dua pemain muda yang juga pelatih kebangsaan, Amir Syahiran dan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohd Zuhri bagi membantu regu kita.
"Apa pun, kita tetap akan cuba memberikan aksi yang terbaik untuk beraksi di pentas final dan seterusnya naik ke saingan Divisyen Premier,” katanya semalam.
Pada masa sama, Mohamad Razizi berharap tempoh rehat sehari hari ini akan dimanfaatkan sepenuhnya barisan pemain MASUM-UPM Knights sebelum kembali turun ke gelanggang esok.
"Diharapkan kesemua pemain akan mendapat rehat secukupnya agar mereka dapat memberikan aksi terbaik pada saingan separuh akhir Sabtu ini (esok),” katanya.
Terdahulu, MASUM-UPM Knights mencipta kejutan apabila menyambar slot separuh akhir selepas meraih dua kemenangan dan sekali tewas dalam saingan Kumpulan A.
Selepas menewaskan Terengganu Turtles 21-14, 21-11 pada aksi pembukaan Selasa lalu, MASUM-UPM Knights mencipta kemenangan kedua apabila membenam cabaran Perlis Vipers 21-10, 11-21, 21-19 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.
Kelmarin, MASUM-UPM Knights ternyata gagal mengekang kehebatan pencabar utama, Melaka Titans apabila tewas straight set 17-21, 14-21.
Dalam pada itu, Bomba Fighters turut menjanjikan rentak terbaik apabila turun beraksi dalam satu lagi pertarungan separuh akhir.
Wakil pasukan, Mohd Ismail Famin Abd Salam berkata, sebagai pendatang baharu, kemaraan Bomba Fighters ke pentas separuh akhir dilihat sebagai satu pencapaian yang cukup membanggakan.
"Sememangnya kami tidak pernah menyangka akan berjaya mara ke peringkat separuh akhir STL Divisyen Satu, apatah lagi dengan status kami selaku pendatang baharu pada kejohanan kali ini.
"Kami bersyukur kerana mendapat bimbingan jurulatih berpengalaman. Tahniah kepada para pemain kerana menunjukkan aksi terbaik setiap kali turun ke gelanggang,” katanya.
Bomba Fightrers meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir apabila mencipta dua kemenangan dan sekali tewas dalam saingan Kumpulan B.
Selepas menewaskan Kedah Eagles 21-19, 21-16 kelmarin, Bomba Fighters meneruskan rentak kemenangan dengan mengecewakan PSM Mavericks 21-17, 11-21, 21-7 semalam.