KOTA KINABALU - Penyandang kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias Datuk Isnin Aliasnih nekad mahu mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ke-16 akan datang.
Katanya, pelbagai agenda, visi dan misi yang masih belum diselesaikan sebelum ini akan diteruskan sekiranya rakyat di kawasan itu terus memberi kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat.
"Alhamdulillah, pucuk pimpinan khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya untuk bertanding mempertahankan kerusi DUN Klias pada PRN nanti.
"Sudah pasti pada kali ini saya optimis dan berkeyakinan untuk mempertahankan kerusi ini selain mahu meneruskan agenda, visi dan misi dan iaitu pembangunan untuk rakyat,” katanya ketika dihubungi disini, hari ini.
Isnin yang sebelum ini menjadi wakil rakyat lebih dua tahun mengakui segala perancangan pembangunan rakyat yang dirancang masih belum diselesaikan sepenuhnya selepas DUN Sabah dibubarkan 30 Julai yang lalu.
"Saya akui selama hampir lebih dua tahun ini memang saya belum berpuas hati dengan pembangunan di Klias dan sudah pasti jika rakyat memberi mandat untuk saya menjadi wakil mereka sekali lagi, sudah tentu visi misi yang belum selesai akan diteruskan,”katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai cabaran untuk bertanding pada PRN Sabah kali ini, Isnin menyatakan kesediaannya untuk bertanding secara demokrasi walaupun pertandingan dijangka lebih tiga penjuru.
"Bagi saya setiap kali Pilihan Raya, ini satu perkara biasa, saya menjangkakan pertandingan kali ini akan melebihi dari tiga penjuru. Mungkin Warisan atau Keadilan atau pun Warisan Plus dan juga saya jangka dari Parti Cinta Sabah (PCS) juga akan bertanding pada kali ini.
"Saya rasa ini semua tiada halangan bagi saya kerana sistem demokrasi itu amat adil,” katanya.