IWK hasilkan air sisa terawat untuk kegunaan industri

Iklan
Narendran (dua dari kiri) bersama Dr Ahmad (tiga dari kiri), Shanmugaraj (kanan) dan Mohd Haniffa (kiri) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara IWK dan MNS di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) akan bekerjasama dengan beberapa syarikat operator air untuk menghasilkan air sisa terawat bagi kegunaan industri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Narendran Maniam berkata, loji IWK menghasilkan kira-kira 5,579 juta liter sehari (MLD) efluen terawat ke dalam sistem saliran dan mencapai piawaian yang ditetapkan serta selamat untuk disalurkan ke perairan.

Iklan
Iklan

"Kita melihat potensi besar dalam efluen ini. Oleh itu, kita memulakan inisiatif Loji Pulih Guna Air (WRP) dan IWK akan bekerjasama dengan pelbagai operator air untuk menyalurkan air sisa terawat ini. Buat masa ini, ia masih dalam proses perbincangan dan belum dimuktamadkan.

"Air sisa terawat ini berpotensi untuk menjadi sumber air kedua kepada negara terutama untuk dibekalkan kepada industri perkilangan. Kita menjangkakan ia dilaksanakan secara berperingkat,” katanya pada sidang akhbar majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara IWK dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) di sini semalam.

Iklan

MoU itu ditandatangani oleh Narendran yang mewakili IWK, manakala MNS diwakili oleh Profesor Dr Ahmad Ismail.

Hadir sama Pengarah Eksekutif MNS, I S Shanmugaraj dan Ketua Pegawai Operasi IWK, Mohd Haniffa Abdul Hamid.

Iklan

Sementara itu, Narendran berkata, dengan peningkatan isu kekangan air sejak kebelakangan ini, air gred industri dapat menjadi pilihan yang mudah dan selamat digunakan.

"Inisiatif ini juga akan mengurangkan kos utiliti, memelihara sumber air minuman dan menjadi penyumbang penting kepada agenda kelestarian air serta ekonomi hijau,” katanya.

Mengulas mengenai MoU itu, Narendran berkata, salah satu inisiatif yang akan dimulakan IWK-MNS ialah mempelopori penggunaan bioproduk IWK iaitu penggunaan biopepejal untuk penanaman pokok hutan di Pantai Eco Park.

"Kerjasama ini akan mengukuhkan potensi penggunaan semula bioproduk kumbahan dalam memulihara alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MNS dapat bekerjasama dengan baik bersama IWK dalam bidang pembangunan sosial industri pembetungan dan penggunaan semula bioproduk.

"Seiring dengan MoU ini, IWK dan MNS melancarkan kempen menanam pokok hutan dikenali sebagai Adopt a Tree.

"Individu, kumpulan atau syarikat swasta boleh menderma dan MNS akan menanam serta menjaga pokok tersebut di Pantai Eco Park.

"IWK pula akan menyediakan kemudahan, bahan-bahan keperluan, kemahiran pengurusan dan industri untuk menyokong usaha MNS dalam perkembangan hutan bandar,” katanya.