Tergamak pukul ibu, ayah dan adik!

Iklan
Lokasi kejadian suspek memukul kedua ibu bapa dan adiknya di Kampung Ara Kuda, Tasek Gelugor pagi tadi.

TASEK GELUGOR - Seorang lelaki tergamak memukul kedua ibu bapa dan adik perempuannya dengan menggunakan sebatang kayu dalam kejadian di Kampung Ara Kuda di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.35 pagi itu, suspek berusia 37 tahun dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dikatakan mengamuk dan bertindak agresif dengan memukul mangsa.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan bapanya yang berusia 70 tahun menegur perbuatan lelaki itu yang membuat bising di dalam rumah.

"Suspek disyaki di bawah pengaruh dadah mengamuk dengan mengambil sebatang kayu dan mengetuk dinding rumah sebelum berlaku pertengkaran antara bapanya dan suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Noorzainy berkata, tidak berpuas hati degan teguran itu lelaki berkenaan bertindak memukul kepala mangsa.

Katanya, ibu suspek yang berusia 68 tahun dan adiknya berusia 23 tahun cuba meleraikan pergaduhan itu namun turut dipukul.

Iklan

"Akibat daripada kejadian itu bapanya mengalami luka di bahagian tepi sebelah kiri kepala, ibunya cedera di bahagian atas kepala manakala adiknya pula mengalami lebam di bahagian belakang badan, bahu dan tangan.

"Kesemua mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas dan telah dibenarkan pulang," katanya.

Noorzainy berkata, polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi namun suspek telah melarikan diri.

Tambahnya, polis kini sedang memburu lelaki terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.