IPOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berhenti berusaha menyelesaikan isu hak penjagaan anak seorang guru tadika, M Indira Gandhi terhadap bekas suaminya, Muhammad Ridhuan Abdullah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya yang diwakili oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed bersama tiga pegawai sudah menemui Indira Gandhi memaklumkan fakta-fakta dan tindakan diambil oleh PDRM dalam usaha menyelesaikan isu tersebut.
Menurutnya, segala usaha yang dilakukan itu membuktikan PDRM selama ini tidak pernah berdiam diri bagi memastikan isu tersebut diselesaikan sebaik mungkin.
"Saya tegaskan dari mula lagi, isu ini begitu sensitif sekali di mana seorang ibu terpisah dengan anak dan ada perintah mahkamah yang perlu dipatuhi oleh bekas suami. Suami bawa lari anak bersembunyi di luar negara dan kita mempunyai kekangan untuk memaksa beliau ke sini.
"Apa tindakan yang saya ambil selama ini, dalam diam-diam saya menubuhkan satu pasukan khusus diketuai pegawai peringkat tertinggi berunding memujuknya untuk balik," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Ipoh sebagai 'Approved Training Organisation-Flying Training Organisation (ATO-FTO) dan 'Approved Training Organisation-Type Rating Traning Organisation (ATO-TRTO) oleh Pihak Berkuasa Pengerbangan Awam Malaysia (CAAM), di PLPGU, di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.
Beliau berkata, tindakan yang diambil pihak polis secara berhati-hati kerana tidak mahu isu berkenaan dijadikan modal politik oleh pihak tertentu dan mengelak mereka yang berkepentingan masuk campur dalam masalah keluarga tersebut.
Menurutnya, semua pihak perlu menghormati privasi keluarga dan anak-anak yang terlibat kerana isu berkenaan begitu sensitif.
"Saya tidak akan berdiam diri kerana saya memahami beban psikologi yang ditanggung Indira Gandhi dan bekas suami serta anak-anak. Malah dalam rundingan yang dibuat dengan Muhammad Ridhuan sebelum ini sangat positif tetapi apabila keluar berita di dalam akhbar ada pihak tertentu yang beri komen tidak baik tentang isu ini dia mengambil tindakan menjauhkan diri.
"Dari tahun lepas lagi kita berusaha dengan cara ini. Kalau nak gunakan ektradisi, ia rumit dan memakan masa lebih panjang sebab dia bukan penjenayah tegar. Saya tak akan putus asa," katanya.
Pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes Indira Gandhi: PDRM giat kesan Muhammad Riduan