KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Vell Paari yang memfailkan saman pemula terhadap bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk menentukan tahap kesihatan mental bapanya itu.
Permohonan itu difailkan selaras dengan Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental bagi menyiasat sama ada bekas Menteri Kerja Raya itu berupaya untuk menguruskan diri serta hal ehwalnya.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Vell Paari, David Mathews kepada pemberita ketika beliau ditemui di luar mahkamah selepas prosiding, hari ini.
David berkata, bagaimanapun butiran lanjut dalam siasatan itu tidak boleh didedahkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Anak fail saman periksa tahap mental Samy Vellu
Wanita dakwa isteri kedua Samy Vellu mohon jadi pencelah
Menurutnya lagi, bagaimanapun Hakim Mahkamah Tinggi, Wong Chee Lin menolak permohonan seorang wanita yang mendakwa sebagai isteri Tun S. Samy Vellu iaitu Meeriam Rosaline Edward, 59, untuk mencelah saman difailkan oleh Vell Paari.
Permohonan itu difailkan oleh Meeriam Rosaline pada prosiding pendengaran permohonan tersebut di dalam kamar mahkamah hari ini.
David menambah, permohonan Meeriam Rosaline yang diwakili peguamnya, Ramesh SivaKumar untuk mencelah itu ditolak mahkamah dengan kos RM5,000.
Pada 2 Disember lalu, Vell Paari sebagai plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Samy Vellu, 82, sebagai defendan.
Berdasarkan saman pemula, plaintif memohon siasatan diadakan untuk menentukan sama ada defendan mempunyai masalah mental serta tidak berupaya untuk menguruskan diri dan hal ehwal dirinya.
Beliau juga memohon perintah mahkamah untuk mengetahui sama ada bapanya berupaya memberi arahan kepada peguam supaya bertindak bagi pihaknya (Samy Vellu) selain menentukan jenis harta yang dimiliki bapanya.
Bekas Setiausaha Agung MIC itu turut memohon supaya Consultant Neuropsychiatrist dan Ketua Neurobehavioral Medicine Services dari Penang Adventist Hospital, Dr Prem Kumar Chandrasekaran atau pakar kesihatan mental lain diberikan akses untuk memeriksa bapanya secara peribadi dan menyediakan laporan tentang keupayaan mental defendan.
Beliau berkata, jika defendan didapati mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya menguruskan dirinya serta hal ehwalnya akibat masalah itu, beliau memohon supaya beberapa individu termasuk dirinya (plaintif) dan peguam Datuk C. Vijaya Kumar dilantik oleh mahkamah sebagai ahli jawatankuasa untuk menjaga dan menguruskan hal ehwal estet defendan.
Sekiranya mahkamah membenarkan kesemua individu itu dilantik sebagai ahli jawatankuasa, plaintif turut memohon supaya mahkamah menentukan kuasa ahli jawatankuasa tersebut, membuat peruntukan bagi kos dan perbelanjaan jawatankuasa serta membuat peruntukan bagi saraan jawatankuasa tersebut.
Vell Paari juga memohon perintah supaya beliau dilantik sebagai wakil litigasi defendan dalam mana-mana prosiding undang-undang membabitkan bapanya, harta atau kepentingannya.
Sementara itu, Vell Paari menerusi afidavit sokongannya berkata, ibunya iaitu Toh Puan R. Indrani, 79, dan adik perempuannya, S. Mangayerkarasi, 56, akan memberi sokongan terhadap saman itu dan akan mengesahkan perkara tersebut dalam afidavit sokongan mereka.
Plaintif berkata, konsultan psikiatri dari Victoria, Australia, Profesor David Ames telah mengenal pasti bapanya mengalami demensia pada 2017 dan diberikan ubat untuk merawat kesihatannya.
Beliau berkata, konsultan psikiatri dari Pantai Hospital, Dr Bharathi Vengadasalam turut menyediakan laporan bahawa Samy Vellu mengalami gangguan neurokognitif major dan tidak berupaya menguruskan kewangan dan estet, menguruskan ubat serta membuat keputusan.
Menurutnya, hasil penemuan kedua-dua konsultan itu mendapati bapanya mengalami kecelaruan mental dan tidak memiliki keupayaan fizikal serta mental untuk mengurus diri.