FAM susun semula perancangan skuad B-19 negara

Iklan
Maloney (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada anak-anak buahnya ketika mengikuti kem latihan pusat baru-baru ini. -Foto FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menyusun semula perancangan bagi skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara berikutan penangguhan Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, penangguhan kejohanan berkenaan yang dijangka berlangsung pada awal 2021 itu turut menyaksikan kem latihan pusat Fasa 3 serta kesemua aksi persahabatan yang telah dirancang turut dibatalkan.

Iklan
Iklan

Menurut Stuart, pihaknya akan menyusun semula perancangan skuad kendalian Brad Maloney itu untuk disesuaikan dengan tarikh baharu kejohanan yang akan diumumkan oleh AFC nanti.

"Dengan berita penangguhan ini, kem latihan pusat Fasa 3 yang sepatutnya diadakan sepanjang September ini dibatalkan, begitu juga dengan perlawanan-perlawanan persahabatan yang telah dirancang sebelum ini.

Iklan

"Ini bermakna selepas berakhirnya kem latihan pusat Fasa 2 pada 29 Ogos lalu, para pemain telah dilepaskan terus untuk mereka kembali ke pasukan negeri atau kelab masing-masing bagi mengharungi baki saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier.

"Di pihak Sekretariat FAM, kita akan menyusun semula perancangan pasukan bersama dengan pihak pengurusan dan juga barisan kejurulatihan. Kita akan maklumkan nanti kepada para peminat dan juga pihak media," katanya menerusi satu kenyataan media semalam.

Iklan

Keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC yang berlangsung secara maya kelmarin yang turut dihadiri Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selaku salah seorang Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC.

Difahamkan, penangguhan itu dibuat, berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 yang dilihat masih tidak menentu, sekali gus menyaksikan AFC tidak dapat meneruskan perancangan untuk mengadakan pusingan akhir kejohanan berkenaan mengikut tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini.

Sementara itu, Brad Maloney menerima berita penangguhan tersebut dengan nada positif biarpun anak-anak buahnya sudah melakukan persiapan awal sejak kem latihan pusat Fasa 1 yang bermula 6 Julai lalu.

"Kami tetap menghormati keputusan berkenaan demi menjamin kesihatan dan keselamatan semua pihak. Sesuatu yang cukup baik untuk pasukan ini apabila kami telah dapat berlatih bersama sepanjang kem latihan pusat Fasa 1 dan Fasa 2.

"Tetapi apabila pengumuman penangguhan ini telah dibuat oleh pihak AFC, demi kesihatan dan keselamatan semua pemain dan pegawai pasukan terlibat, kita perlu menghormatinya," jelas Maloney.

Untuk rekod, pada majlis undian Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil pada 18 Jun lalu, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D bersama Qatar, Tajikistan dan Yemen.