Isu kerusi PRN Sabah: Bersatu puji sikap matang Pas

Iklan

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memuji sikap Pas yang matang dalam menerima keputusan penamaan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung pada 26 September ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu memberikan laluan kepada rakan-rakan bagi memastikan pertandingan dua penjuru dapat diserlahkan pada PRN Sabah disifatkan berjiwa besar dan memahami kepentingan muafakat secara taktikal atas wadah yang sama iaitu PN.

Iklan
Iklan

"Rakyat mengharapkan PN dapat menjadi contoh dalam toleransi kuasa politik atas kepentingan dan agenda bersama bagi mentadbir negara ini. Kunci di sini ialah diplomasi dan perkongsian berdasarkan realiti sosio-politik tempatan agar semua pihak merasakan semangat kebersamaan.

"Sesungguhnya simbol atau bendera yang dijunjung oleh Pas, Bersatu, STAR dan PBS untuk PRN Sabah adalah satu iaitu PN. Maka adalah benar kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki bahawa secara tersiratnya Pas bagaikan tetap bertanding di Sabah, iaitu melalui PN yang turut diwakili mereka," katanya.

Iklan

Abdul Hadi dalam satu kenyataan berkata, parti itu menghormati sikap rakan-rakan di Sabah yang berhasrat bertanding di keseluruhan 73 kerusi di Sabah setelah usaha rundingan dimuktamadkan.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sabah: Pas beri laluan demi muafakat

Iklan

Jelasnya, ia bagi memastikan pertandingan dua penjuru dapat diserlahkan dalam PRN Sabah demi memelihara permuafakatan terjalin serta mengambil kira implikasi politik pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berharap rakan-rakan komponen lain dalam PN berusaha mengukuhkan lagi persefahaman, permuafakatan, kerjasama, perkongsian, toleransi dan saling hormat-menghormati bagi membebaskan Sabah daripada proksi DAP serta pihak yang berfikiran kenegerian sempit.

"Semoga rakyat Sabah terus maju, bersatu-padu, harmoni dan selamat bersama kerajaan pusat negara Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disayangi," katanya.