Siapa penerus legasi Abenomics?

Iklan
Shinzo Abe mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Jepun ekoran masalah kesihatan pada Ogos lalu. - Foto AFP

PEREBUTAN jawatan Perdana Menteri Jepun yang dijangka diketahui secara tidak rasmi pada 14 September ini selepas pengundian diadakan untuk menentukan ketua Parti Liberal Demokratik (LDP) baharu bagi menggantikan Shinzo Abe.

Abe, 65, sebelum ini mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan masalah radang usus tetapi meneruskan tugasnya sehingga penggantinya dipilih.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, wakil-wakil rakyat dan perwakilan wilayah LDP akan mengundi bagi menentukan ketua yang baharu sekali gus akan menjadi Perdana Menteri kerana parti tersebut mempunyai bilangan majoriti anggota di parlimen.

Siapa yang bakal menerajui kepimpinan Jepun itu menarik perhatian dunia kerana Jepun merupakan kuasa ekonomi ketiga terbesar selepas Amerika Syarikat (AS) dan China.

Iklan

Abe ialah Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat di Jepun dan memegang jawatan itu buat kali kedua pada tahun 2012.

Sebelum ini, dia memegang jawatan itu pada kali pertama mulai tahun 2006 tetapi meletakkan jawatan pada tahun 2007 kerana mengalami masalah kesihatan yang sama.

Iklan

Berikutan peletakkan jawatan kali kedua itu, tiga tokoh bersaing bagi menggantikannya iaitu Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga, 71, bekas Menteri Luar, Fumio Kishida, 63, dan mantan Menteri Pertahanan, Shigeru Ishiba, 63.

Berdasarkan beberapa tinjauan pendapat, Suga dilihat mendahului calon-calon lain bagi menjadi ketua LDP.

Parlimen Jepun akan bersidang pada 16 September ini bagi memilih Perdana Menteri yang baharu. - Foto AFP

Menurut satu tinjauan pendapat yang dilakukan oleh Kyodo News, 304 wakil rakyat LDP atau 77 peratus merancang untuk menyokongnya yang sebelum ini menjadi orang kanan Abe selama hampir lapan tahun dan berjanji untuk meneruskan dasar ekonomi serta politik perdana menteri itu.

Tinjauan itu yang disiarkan oleh akhbar Japan Times pada 10 September lalu menunjukkan Kishida memperoleh sokongan 53 wakil rakyat LDP manakala Ishiba pula disokong oleh 27 wakil rakyat.

Bagaimanapun, Ishiba mungkin menerima lebih banyak undi daripada perwakilan biasa kerana dia merupakan calon yang popular.

Suga juga merupakan calon paling popular dalam satu tinjauan orang awam menerusi telefon yang turut dilakukan oleh Kyodo News untuk menjadi Perdana Menteri dengan mendapat sokongan sebanyak 50.2 peratus.

Dia juga dijangka mendapat sokongan daripada kumpulan yang diketuai oleh Setiausaha Agung LDP, Toshihiro Nikai dan beberapa lagi kumpulan lagi seperti yang dilaporkan media sekali gus menjadi calon pilihan.

Sokongan orang awam terhadap Ishiba pula kekal sebanyak 30.9 peratus manakala Kishida ialah lapan peratus.

Peletakan jawatan Abe sebelum penggal perkhidmatannya berakhir pada September 2021 dan di tengah-tengah pandemik krisis koronavirus (Covid-19) dikatakan telah mencetuskan kemungkinan pilihan raya awal diadakan.

Suga sebelum ini memberikan petunjuk kepada akhbar Asahi Shimbun bahawa kemungkinan pilihan raya awal akan diadakan jika dia dipilih menjadi Perdana Menteri tetapi memberikan peringatan bahawa Covid-19 akan memberi kesan terhadap keputusan tersebut.

Tiga tokoh bersaing bagi merebut jawatan ketua Parti Liberal Demokratik sekali gus bakal menjadi Perdana Menteri Jepun iaitu Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga, (kanan), bekas Menteri Luar, Fumio Kishida (tengah) dan mantan Menteri Pertahanan, Shigeru Ishiba. - Foto AFP

Bagi mempengaruhi wakil rakyat LDP menyokongnya sebagai ketua parti, dia mengisytiharkan akan meneruskan pendekatan ekonomi Abe dikenali sebagai Abenomics dan tidak akan mengganggu perjanjian yang wujud antara kerajaan dengan Bank of Japan berhubung dasar kewangan negara.

Menurut George Mulgan yang merupakan profesor di Sekolah Sains Kemanusiaan dan Sains Sosial, Universiti New South Wales, Canberra, Suga kekurangan karisma tetapi warisan yang akan ditinggalkan oleh Perdana Menteri sekarang tidak akan dicabar olehnya.

Katanya, ini adalah kerana dia merupakan penyokong kuat dasar Abe dan pernah berkata,"Saya akan mengambil inisiatif daripada Perdana Menteri Abe dan melakukan sedaya upaya untuk meneruskannya (dasar Abe) pada masa depan."

Mulgan yang menyatakan pandangannya dalam portal berita CNA baru-baru ini bahawa, Kishida yang menjadi saingan Suga untuk merebut jawatan itu digambarkan sebagai pencabar peninggalan dasar-dasar Abe. - Agensi