KUALA LUMPUR - Wartawan perlu mempertahankan nilai-nilai teras kewartawanan agar penulisan mereka akan terus relevan dan menjadi rujukan pertama masyarakat dalam mendapatkan berita sahih.
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, nilai tersebut yang diterapkan dalam setiap penulisan akan membezakan wartawan profesional dengan individu yang menyebarkan maklumat tidak tepat.
Menurutnya, ketika ini dalam arus perkembangan teknologi terdapat ramai individu yang boleh menulis dan menyebarkan maklumat dengan mudah terutama di media sosial.
"Amat penting dunia kewartawanan hari ini terus berpegang kepada nilai-nilai teras untuk memastikan masyarakat boleh berpegang kepada berita, maklumat yang ditulis dan analisis oleh wartawan dan penulis.
"Nilai teras kewartawanan perlu dipertahankan supaya apabila masyarakat ingin merujuk kepada sesuatu perkara atau isu yang dituliskan, tempat rujukan pertama adalah tulisan-tulisan oleh wartawan profesional.
"Kesahihan maklumat telah diperiksa secara teliti dan kejituan analisa itu boleh dipercayai, maka insya-Allah, terus di masa-masa akan datang bidang kewartawanan ini akan kekal relevan kepada masyarakat.
"Ini merupakan kelebihan yang ada pada wartawan, the threshold level yang digunakan oleh wartawan secara umumnya apabila bercakap tentang kesahihan maklumat adalah jauh lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2020 (MWM 2020) di sini malam ini.
Beliau yang hadir mewakili Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyempurnakan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) Malaysia Press Institute (MPI)-Petronas 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI merangkap Pengerusi MWM 2020, Datuk Dr Chamil Wariya berkata, HKM MPI- Petronas merupakan program tahunan dengan Petronas selaku penaja sejak 1994.
Menurutnya, HKM 2019 diadakan hari ini selepas ditunda daripada tarikh asal pada 21 April lalu berikutan perubahan kepimpinan negara susulan kemelut politik dan diikuti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.
"Mungkin tidaklah begitu meriah seperti tahun sebelumnya tapi apa yang penting, hadiah kepada para pemenang bernilai RM300,000 tajaan Petronas dapat kita sampaikan.
"Sebanyak 20 kategori dipertandingkan dengan 306 orang pengamal media di alam nyata dan maya telah mengemukakan permohonan," ujarnya.
Setiap kategori memperuntukkan hadiah RM5,000 atau RM10,000 bersama trofi dan sijil untuk pemenang utama manakala dua lagi pemenang sagu hati masing-masing akan membawa pulang RM1,000 berserta sijil.