Sinar Harian ungguli Laporan Berita Cemerlang HKM MPI-Petronas

Iklan
Mohd Radzi (tengah) dan Chamil (lapan, kiri) bersama pemenang pada Majlis Anugerah Malam Wartawan Malaysia 2020 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sinar Harian melalui wartawan edisi Kelantan dinobatkan pemenang utama Laporan Berita Cemerlang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) Malaysia Press Institute (MPI)-Petronas 2019 pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2020 di The Majestic Hotel di sini malam ini.

Laporan berita bertajuk Kematian Misteri Hantui Gua Musang hasil penulisan Rosmiza Kasim bersama Siti Nor Akmaliah Razak, Siti Fatihah Awang dan Adila Sharini Wahid itu berjaya membawa pulang hadiah RM10,000 berserta trofi dan sijil.

Iklan
Iklan

Selain itu, Sinar Harian turut menerima hadiah sagu hati berupa RM1,000 berserta sijil bagi kategori Desain Halaman Pertama Terbaik dan Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang Petronas.

Bagi kategori Desain Halaman Pertama Terbaik, bahan berita bertajuk Gas Beracun Dari Bawah Tanah dan Arahan Padam Kebakaran serta Ancaman Jerebu Hingga Awal Oktober dimenangi Zainudin Haron.

Iklan

Gandingan wartawan Muhammad Zakwan Nazaraly, Nor Ainna Hamzah dan Anita Abu Hasan bagi kategori Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang Petronas menerusi laporan bertajuk Plumbum Ancam Nyawa Penduduk.

Mohd Radzi Md Jidin menyampaikan hadiah kepada wartawan Sinar Harian yang memenangi kategori Laporan Berita Cemerlang.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI merangkap Pengerusi Malam Kewartawanan Malaysia 2020, Datuk Dr Chamil Wariya berkata, Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI- Petronas adalah program tahunan dengan Petronas selaku penaja sejak 1994.

Iklan

Menurutnya, HKM 2019 diadakan hari ini selepas ditunda daripada tarikh asal pada 21 April lalu berikutan perubahan kepimpinan negara susulan kemelut politik dan diikuti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

"Mungkin tidaklah begitu meriah seperti tahun sebelumnya tapi apa yang penting, hadiah kepada para pemenang bernilai RM300,000 tajaan Petronas dapat kita sampaikan.

"Sebanyak 20 kategori dipertandingkan dengan 306 orang pengamal media di alam nyata dan maya telah mengemukakan permohonan," katanya dalam ucapan alu-aluan pada MWM 2020 di sini malam tadi.

Majlis disempurnakan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Setiap kategori memperuntukkan tiga pemenang dengan hadiah RM5,000 atau RM10,000 bersama trofi dan sijil untuk pemenang utama manakala dua pemenang sagu hati masing-masing akan membawa pulang RM1,000 berserta sijil.

Rosmiza (kanan) dan Siti Nor Akmaliah antara empat penulis laporan berita bertajuk Kematian Misteri Hantui Gua Musang yang memenangi kategori Laporan Berita Cemerlang hari ini.