ISKANDAR PUTERI - Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai bintang kebesaran paling diminatinya iaitu KSM, Kerja Sampai Mati membawa makna yang cukup mendalam.
Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, lebih-lebih lagi ia keluar dari mulut seorang pemimpin berusia 94 tahun walaupun dinyatakan secara berseloroh.
"Memilih kerjaya sebagai penjawat awam, bererti kita memilih untuk berkhidmat dan menabur bakti kepada rakyat dan negeri.
"Saya mengharapkan agar kita semua juga boleh menguna pakai darjah kebesaran KSM yang saya olah sebagai 'Kerja Seperti Mahathir'.
"Ini kerana dalam konteks dunia semasa yang berubah dengan cepat, rutin 8 pagi hingga 5 petang dilihat tidak sesuai dengan aspirasi kerajaan baharu.
"Penjawat awam perlulah sentiasa produktif bersifat dinamik dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab," katanya ketika menyampaikan Amanat kepada Pegawai dan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Johor di sini hari ini.
Osman berkata, jika perlu bekerja di luar waktu pejabat untuk memastikan segala perancangan menepati tarikh akhir, penjawat awam Johor diseru melakukannya dengan penuh keikhlasan.
"Anda semua haruslah memberikan komitmen penuh kepada kerajaan baharu, bantu kami untuk menjalankan tugas yang akhirnya memanfaatkan rakyat.
"Sama-samalah kita berganding bahu kerana anda semua merupakan tulang belakang kejayaan sebuah kerajaan," katanya.
Terdahulu, media melaporkan kenyataan Dr Mahathir bahawa Bintang Kebesaran yang paling diminatinya adalah KSM iaitu Kerja Sampai Mati.
Perkara itu dinyatakan secara berseloroh di hadapan ribuan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands di Sungai Koyan, dekat sini, baru-baru ini.