JITRA - Seorang penternak ikan sangkar air tawar mengalami kerugian RM50,000 apabila empat tan ikan tilapia peliharaannya mati di Sungai Santap Padang Sera, Kodiang, dekat sini pagi semalam.
Halim Ishak, 47, berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 8 pagi ketika tiba di lokasi dan mendapati semua ikan tersebut yang sedia untuk dijual sudah mati dan timbul di permukaan sungai.
Menurutnya, kejadian itu adalah pertama kali berlaku sejak dia mengusahakan penternakan ikan tilapia di dalam sangkar di sungai itu sejak 16 tahun lalu.
"Pada awalnya memang saya terkejut melihat semua ikan di dalam sangkar namun saya reda dengan kejadian ini walaupun kerugian kira-kira RM50,000.
"Jabatan Perikanan Negeri Kedah dan Lembaga Sumber Air tiba pada jam 10 pagi untuk membuat pemeriksaan.
Bapa kepada dua anak ini berkata, kerja-kerja pembersihan di sangkarnya dilakukan pada jam 4 petang sehingga 7 malam semalam sebelum bersambung pada jam 8 pagi sehingga 9 pagi hari ini.
"Semua ikan yang mati ini ditanam dalam satu lubang besar yang dikorek menggunakan jentolak kira-kira satu kilometer dari sangkar bagi mengelakkan bau busuk," katanya.
Katanya, kejadian itu tidak akan mematahkan semangatnya.
"Saya akan melepaskan kira-kira 20,000 ekor anak ikan dengan kos RM6,000 di dalam 51 sangkar ikan selepas mendapat lampu hijau daripada Jabatan Perikanan," katanya.