SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] UMNO menjelaskan bahawa kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelantikan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Sabah, Datuk Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri telah disalah tafsir.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, Muhyiddin tidak menetapkan bahawa Hajiji akan menjadi Ketua Menteri Sabah bagi pihak Gabungan Rakyat Sabah yang membabitkan Barisan Nasional (BN).
"Tetapi apabila mula keluar berita, memang kami dari UMNO dan BN perlu respons. Husnuzon, moga isu tidak menjadi polemik berpanjangan yang hanya menguntungkan lawan.
"Apapun, pendirian parti seperti yang telah disebut oleh Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menang dulu, baru (Ahli Dewan Udangan Negeri) ADUN-ADUN bincang dan putuskan Ketua Menteri," katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.
Media melaporkan Muhyiddin mengumumkan Hajiji akan dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah sekiranya Gabungan Rakyat Sabah menang pada Pilihan Raya Negeri yang akan berlangsung pada 26 September ini.
Muhyiddin bagaimanapun berkata, keputusan tersebut perlu dipersetujui rakan-rakan Bersatu.
ARTIKEL BERKAITAN: Hajiji calon Ketua Menteri Sabah: Muhyiddin