KOTA KINABALU - Beberapa pemimpin Wanita UMNO meluahkan rasa kecewa apabila hanya dua calon Wanita UMNO ditampilkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Difahamkan, mereka sebelum ini telah dijanjikan untuk menampilkan lebih ramai calon Wanita oleh pucuk pimpinan, namun perkara itu tidak berlaku.
Beberapa pemimpin Wanita UMNO khususnya di Sabah turut meluahkan perasaan sama dengan membuat hantaran di laman sosial dengan tanda pagar #TulangBelakangPatah yang seolah-olah menggambarkan golongan itu tidak diperlukan.
Susulan itu, terdapat cakap-cakap yang mengatakan mereka hanya akan turun padang untuk membantu dua orang calon wanita sahaja.
Calon tersebut ialah Chaya Sulaiman yang bertanding dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan dalam Parlimen Kalabakan dan Hazulizah Mohd Dani bagi DUN Sekong dalam Parlimen Batu Sapi.
Bagaimanapun, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad dilihat turun menyokong calon DUN Kukusan pada hari penamaan calon pagi semalam.
Pada PRN kali ini, beberapa parti politik dalam BN dan Perikatan Nasional serta Parti Bersatu Sabah (PBS) dilihat tidak mencalonkan ramai wanita.
Bagi PN, mereka mencalonkan Norlizah Gurahman yang bertanding di DUN Tanjung Kapor; Flovia Ng (DUN Tulid) manakala bagi PBS pula mencalonkan Julita Mojungki di DUN Matunggong selain MCA mempertaruhkan Dr Chang Kee Ying di DUN Likas.