KOTA BHARU - Kerajaan akan memastikan penyeragaman maklumat lebih tersusun dalam penyaluran bantuan kepada golongan miskin agar tidak berlaku pertindihan bantuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lima kumpulan utama iaitu kerajaan pusat, kerajaan negeri, Majlis-Majlis Agama Islam Negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga syarikat korporat perlu memainkan peranan bagi memastikan penyelarasan maklumat penerima bantuan.
Katanya, penyeragaman maklumat penting kerana kesemua lima kumpulan yang menyalurkan bantuan memainkan peranan amat besar dalam membantu golongan yang tidak berkemampuan.
"Umpamanya, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang mengutip zakat lebih RM900 juta setahun dan separuh daripada kutipan itu adalah untuk digunakan membantu asnaf secara langsung.
"Malah, penyeragaman maklumat juga perlu untuk memudahkan NGO dan syarikat korporat yang mempunyai beberapa program membasmi kemiskinan kepada golongan asnaf terpilih agar mereka tidak tercicir,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Dapatan Kajian Pendapatan Garis Kemiskinan Wilayah Pantai Timur di sini, hari ini.
Seminar anjuran Unit Perancang Ekonomi dengan kerjasama Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Jabatan Perangkaan itu membabitkan 100 peserta dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, NGO dan institut pengajian tinggi.
Mustapa berkata, pihaknya turut mengakui sebelum ini ada berlaku ketidakseragaman maklumat penerima bantuan berdasarkan maklumat dan juga aduan yang diterima.
Katanya, setakat ini kerajaan bergantung kepada angka penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, isu kemiskinan adalah perkara yang akan ditangani sebaik mungkin dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), malah pelbagai pihak telah memberi pelbagai pandangan untuk mengatasinya.
"Semua bangsa mengalami ‘insiden’ kemiskinan, termasuk kemiskinan bandar dan luar bandar. Dalam konteks Kelantan, ia adalah kedua tertinggi dengan bilangan isi rumah kira-kira 40,000 tergolong dalam golongan miskin dan sudah pasti perlu diberi perhatian lebih.
"Maka, RMK12 kita perlu merangka kaedah yang lebih berkesan untuk menangani masalah kemiskinan ini termasuk kemiskinan bandar yang juga melibatkan beberapa negeri di pantai timur, Sabah dan Sarawak selain beberapa kelompok masyarakat termasuk golongan Orang Asli,” katanya. - Bernama