PUTRAJAYA - Tindakan menyekat kenaikan gaji dan pangkat akan dilaksanakan sekiranya ada ketua setiausaha kementerian (KSU) dan ketua pengarah jabatan didapati gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, KPI tersebut ditetapkan bagi membantu merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara pada pasca-koronavirus (Covid-19).
Jelas beliau, 30 peratus daripada KPI yang ditetapkan adalah berkaitan dengan prestasi perbelanjaan.
"Pegawai, bukan sahaja KSU, yang mendapat markah di bawah sasaran akan menjejaskan kenaikan gaji serta pangkat mereka.
"Mereka yang mencapai markah yang ditetapkan akan menerima kenaikan gaji tahunan. Dalam sektor awam tiada elemen bonus. Jika tidak mencapai sasaran, gaji kekal.
"Inilah mekanisme yang digunakan untuk menetapkan KPI. Jadi KSU perlu memastikan kakitangan mereka mencapai tahap maksimum. KPI ini juga menjadi pendorong kepada KSU bagi memastikan mereka berada di kedudukan teratas serta bersaing dan membuktikan kecekapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara Sinar Ahad yang dikendalikan oleh Penolong Pengarang Pengisian Berita, Junhairi Alyasa dan wartawan Sinar Ahad, Mohd Ridzuan Abu Hassan di Jabatan Perkhidmatan Awam di sini baru-baru ini.
Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali menetapkan KPI untuk semua KSU dan ketua pengarah jabatan bagi memastikan mereka menjayakan program menggerakkan ekonomi pasca-Covid-19 mengikut perancangan.
Dalam pada itu, Mohd Khairul Adib berkata, pihaknya juga akan memantau dan memastikan 90 peratus pembayaran oleh kerajaan diselesaikan dalam tempoh tujuh hari manakala selebihnya dalam tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan."Kontraktor atau vendor dapat menggunakan wang tersebut untuk membayar gaji, membeli barang dan perbelanjaan bisnes lain. Ini yang akan menggerakkan semula ekonomi negara,” jelasnya.
Ujarnya, beliau dan KSN bersetuju untuk mengubah pemberat KPI bagi memastikan peruntukan kerajaan pada tahun ini dibelanjakan sepenuhnya.
"Kita rasa ini satu KPI yang agak drastik. Jika KSU atau ketua pengarah gagal membelanjakan peruntukan, bererti mereka menggagalkan rencana kerajaan untuk merancakkan ekonomi.
"Kalau tidak boleh melaksanakan projek mengikut jadual, ia menunjukkan mereka tidak cekap. KSU kena turun padang,” tegas beliau.
Ketika ditanya mengenai nasihat yang boleh diberikan kepada KSU dan ketua-ketua jabatan, Mohd Khairul Adib berkata, mereka perlu turun padang untuk melihat isu berbangkit dan menyelesaikannya dengan segera.
"Kita menggesa KSU memahami perjalanan kementerian masing-masing. Kita menitikberatkan perbelanjaan.
"Dalam KPI, salah satu komponen ialah KPI agensi khusus. Sekiranya tidak tercapai, ia akan menjejaskan markah agregat dan reputasi KSU itu sendiri,” katanya.
Mengenai teguran cara kerja lama penjawat awam yang dibangkitkan oleh Ketua Setiausaha Negara baru-baru ini, beliau berkata, terdapat tiga kategori pekerja dalam setiap organisasi iaitu pekerja, pengurus dan pemimpin.
"Apa yang kita lihat sekarang ini, ramai penjawat awam bekerja berpandukan keadaan SOP lama.
"Dalam keadaan luar biasa sekarang, Perdana Menteri juga menegaskan mengenai kita percepatkan (projek). KSN meminta semua KSU dan ketua pengarah melihat semula SOP lapuk yang banyak lapisan untuk dirangkumkan supaya keputusan dapat dicapai dengan lebih cepat tanpa melanggar peraturan sedia ada.
"Sebab itu saya katakan pengurus ada SOP masing-masing, mereka perlu mengikut arahan manakala pemimpin mencari jalan bagaimana boleh memastikan objektif tercapai tanpa kita kompromikan isu-isu lain,” katanya.