KOTA BHARU - Perwakilan Pas dari seluruh negara mula membanjiri pekarangan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa di sini bagi menyertai Muktamar Tahunan Pas kali ke-66 hari ini.
Seawal jam 7.30 pagi lagi perwakilan yang dijemput khas mula hadir dan mendaftar untuk sesi perasmian muktamar tersebut.
Lengkap berbaju Melayu putih, bersamping dan bersongkok itulah gambaran awal kekemasan perwakilan yang hadir termasuklah majoriti kepimpinan tertinggi Pas yang turut mengenakan samping berwarna hijau.
Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin; Setiausaha Agung, Datuk Takiyudin Hassan dan Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh di antara figura yang hadir seawal jam 8 pagi lagi.
Turut kelihatan, kepimpinan tertinggi lain juga tiba dan masing-masing mematuhi prosedur operasi standard (SOP) koronavirus (Covid-19) sebelum masuk dewan dengan membuat pemeriksaan suhu dan memakai pelitup muka.