ALOR SETAR - PH tidak sewajarnya menafikan kelemahan diri apabila tewas di PRK Cameron Highlands dengan menyalahkan Umno dan Pas kononnya melancarkan perang saraf.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Suraya Yaacob sebaliknya menegaskan kerajaan harus menerima kenyataan bahawa ambang kebangkitan rakyat sudah mulai terasa.
Menurutnya, tidak perlu mana-mana pihak mengada-adakan cerita kononnya Umno dan Pas menganjurkan perang saraf dengan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan untuk meraih sokongan rakyat.
"Pihak berkenaan bukan hanya menggambarkan daya intelektual rendah, malah mereka seolah merelakan diri menjadi alat propaganda parti politik dengan berselindung di sebalik badan penyelidikan dan bersikap prejudis terhadap Umno dan Pas,” katanya.
Suraya yang juga Ketua Penerangan Umno Kedah berkata, lebih mengecewakan apabila tuduhan seperti itu seolah menghina daya pemikiran rakyat yang semakin sedar akan hakikat ditipu kerajaan PH.
"Ternyata sekarang indah khabar berbanding rupa, konon cuba menghadiahkan Malaysia yang lebih baik, namun sebaliknya hanya merasai Malaysia yang lebih pahit,” katanya sinis.
Menurutnya, Umno mahupun Pas tidak perlu bermain perang saraf, kerana denyut nadi rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera serta beragama Islam sudah dapat menghidu kerakusan PH serta pentadbirannya yang kucar-kacir.
"Cepatlah belajar untuk move on sebagai kerajaan kerana kami sedia mengajar untuk menjadi pembangkang sihat dan berkaliber sebelum kita kembali bertukar tempat,” katanya.
Suraya turut mengingatkan pimpinan PH agar jangan sesekali merendahkan kemampuan rakyat dalam membuat penilaian.
"Jika ditakdirkan tewas di PRK Cameron Highlands, jangan cuba menafikan kelemahan diri. Cermin dan suluhlah diri sendiri, jangan perguna pihak lain sebagai alat propaganda politik,” katanya.
Pusat penyelidikan kerajaan Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) dalam laporan analisisnya semalam melaporkan, strategi perang saraf Pas dan Umno dengan memainkan sentimen Melayu diibaratkan sebagai suatu barah.
Menurut laporan IDE, sejak 9 Mei 2018, kedua-dua parti itu cuba menanamkan perasaan takut kalangan orang Melayu bahawa mereka tidak lagi menguasai negara ini, dan berusaha menimbulkan keresahan bahawa negara ini bukan lagi ditadbir oleh orang Melayu.
Laporan itu turut menyebut, berdasarkan keputusan PRK Cameron Highlands, ternyata pengundi termakan dengan ayat-ayat terbabit. Malah, dakwanya, perang saraf ini ibarat kanser dan jika tidak dibendung akan merebak kepada orang Melayu di kawasan pinggir bandar dan bandar.