KUALA LUMPUR – Pembangkang menafikan tindakan meneruskan himpunan besar-besaran menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai sengaja menimbulkan kekacauan antara kaum.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, himpunan ICERD ini bukan soal kaum, sebaliknya ia melibatkan isu negara.
Katanya, sekiranya kerajaan tidak menolak ICERD implikasinya sangat besar terhadap struktur Perlembagaan Persekutuan.
"Ini bukan soal pertembungan kaum, contohnya kalau isu melibatkan Bumiputera, ia tidak melibatkan Cina dan India.
"Saya nafikan, ini bukan soal kaum tapi soal asas pembentukan negara. Hal ini kerana semasa kita terima pembentukan negara berdasarkan kontrak sosial, jadi ia perlu dipertahankan,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sepanjang 60 tahun negara mengecapi kemerdekaan, tiada masalah perkauman yang berlaku kecuali insiden 13 Mei 1969.
"Kalau negara kita boleh berjalan dengan baik, Cina, India, Bumiputera dan lain-lain dapat hak masing-masing , jadi kenapa harus ganggu? Jadi kalau kita terima ICERD seolah-olah kita sengaja hendak menggoyangkan asas negara.
"Jika kita akui tiada masalah, kenapa kita undang masalah dan keduanya kenapa kita hendak menyerahkan tuntutan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap pemerintahan negara.
"Apa-apa pun terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana telah menolak ICERD,” katanya.
Beliau menjelaskan mood peserta himpunan yang di jadual berlangsung 8 Disember ini bukan berasaskan bantahan sebaliknya kesyukuran atas keputusan kerajaan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan diteruskan kerajaan gagal tunjuk kesugguhan]