JOHOR BAHRU - Seramai 124 individu berusia antara 20 hingga 55 tahun ditahan di dua premis hiburan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi berasingan malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua premis itu diserbu kali kedua selepas Mac lalu kerana ingkar PKPP dan tiada penjarakan fizikal ketika berhibur.
Iklan
Iklan
"Mereka juga melanggar syarat lesen kerana menjual dan menghidang minuman beralkohol," katanya ketika ditemui pada operasi itu malam tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati premis terbabit sudah membuat permohonan lesen untuk membenarkan mereka menyediakan minuman keras namun masih tidak diluluskan.
"Saya yakin banyak lagi premis yang masih berdegil dan beroperasi dengan melanggar syarat sah lesen selain tidak menguatkuasakan SOP PKPP.
"Polis Johor dan MBJB serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain akan terus melakukan operasi agar premis-premis hiburan mematuhi syarat lesen serta penjarakan fizikal," katanya.
Operasi polis bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Jalan Harmonium, Taman Desa Tebrau dan Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Darat itu bermula pada jam 11 malam.