SHAH ALAM - Gabungan Reformis Malaysia (GRM) menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengemukakan pelan-pelan konkrit serta agenda-agenda sistematik berhubung langkah membela Melayu seperti yang dilaungkan gabungan parti berkenaan.
Penyelaras GRM, Mustaffa Kamil Ayub berkata, orang Melayu merupakan majoriti iaitu lebih 60 peratus adalah penduduk asal tanah air dan kestabilan sosioekonomi, politik kelompok terbesar itu akan menjamin kestabilan keseluruhan rakyat Malaysia.
"Begitupun GRM berpandangan bahawa proses ini mestilah tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak atau dieksploitasi menjadi isu perkauman sama ada dalam kalangan orang Melayu sendiri atau bukan Melayu.
"Setelah lebih 63 tahun merdeka, kelihatan kedudukan orang-orang Melayu masih ketinggalan di pelbagai sektor walaupun adanya hak istimewa Melayu, tanah rizab Melayu, kuota bumiputera serta Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jadi di mana silapnya dan siapa yang harus dipersalahkan serta bertanggungjawab dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mustaffa Kamil berkata, GRM turut berpandangan bahawa usaha membela kelompok tertinggal sama ada orang Melayu atau Kadazan, Dayak, China, India dan seumpamanya mestilah dibuat secara adil.
Menurutnya, usaha itu juga mestilah tidak meniupkan sentimen perkauman, permusuhan mahupun pemboikotan selain tiada ketirisan, penyelewengan, rasuah, pembaziran dan pembolotan.
"GRM turut menyeru agar pembinaan Malaysia Baharu tidak mencabut akar dan asas sedia ada, sebaliknya wajar dibina sebagaimana asas dalam pembinaan masyarakat Madani Madinah iaitu akidah, ilmu, akhlak, adab, kerohanian dan dakwah.
"Malah membina Malaysia Baharu juga perlu serentak dalam kemakmuran serantau serta model globalisasi manusiawi yang pernah dilakukan dalam pengalaman pembinaan insan dan tamadun Islam,” katanya.