KUANTAN - Seramai 70 peserta termasuk 15 pengamal media menyertai ekspedisi mendaki Gunung Tahan bagi mengikuti Program Latihan Menyelamat dan Kajian Risiko di kawasan gunung itu bermula hari ini hingga 17 September depan.
Ekspedisi selama lima hari itu merupakan program latihan bersama dalam usaha mengukuhkan kerjasama dan persefahaman antara agensi-agensi yang mengambil bahagian selain sebagai usaha menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, ekspedisi kali ini melibatkan 35 peserta dari bomba, polis (15), media (15) dan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) (5).
Menurutnya, program itu anjuran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Media Pahang dan Perhilitan.
"Program ini sudah dirancang lebih awal melibatkan empat agensi ini yang sememangnya sudah ada hubungan erat terutama dalam operasi melibatkan kes-kes menyelamat di hutan dan sebagainya.
"Melalui program ini akan menjadi kesinambungan kepada hubungan erat sedia ada seterusnya meneroka kerjasama lebih luas dalam pelbagai skop pada masa akan datang untuk kepentingan agensi dan masyarakat,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelepasan peserta ekspedisi itu di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota di sini hari ini.
Turut hadir, timbalannya, Mohd Zahar Abdullah, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin dan Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin.
Ir Wan Mohammad Zaidi berkata, program itu juga diadakan bagi meninjau cabaran dan risiko trek gunung tersebut.
"Seperti semua sedia maklum, trek ini ditutup kepada pendaki sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan akan dibuka kepada umum mulai 15 September.
"Sudah tentu akan ada masalah yang berlaku jadi program ini memberi peluang kepada pihak berkuasa khususnya agensi terlibat mengenalpasti permasalahan yang timbul sebelum cadangan dikemukakan bagi memantapkan garis panduan keselamatan kepada pendaki setelah lokasi itu dibuka nanti,"katanya.
Menurutnya, dalam ekspedisi itu, peserta bakal menempuh jarak pendakian kira-kira 60 kilometer dan dijangka tiba di puncak pada 16 September ini.
"Memandangkan pendakian ini bersempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, mereka (peserta) mengambil peluang meraikan hari istimewa itu dengan mengibarkan bendera agensi masing-masing di puncak Gunung Tahan pada hari berkenaan sebelum bertolak turun pada hari berikutnya," katanya.