SIK - Sistem telaga tiub solar membantu petani mendapatkan bekalan air pada musim kering, sekali gus memperolehi hasil tanaman yang baik.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama, Azman Nasrudin berkata, telaga menggunakan sumber solar itu membantu masalah-masalah pengairan di kawasan sukar mendapatkan bekalan air.
"Walaupun harganya agak tinggi, tetapi untuk jangka masa panjang ia mampu memberikan pulangan lebih baik buat mereka yang guna telaga ini.
"Mungkin kita boleh cadangkan kepada pengusaha-pengusaha pertanian berskala besar yang mempunyai modal baik untuk guna sistem ini. Ia mudah diselenggara dan jimatkan wang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Telaga Tiub Sistem Solar di Pusat Latihan Pertanian, Charok Padang di sini hari ini.
Azman berkata, daripada segi kos, kerajaan negeri bersedia berbincang dengan petani bagi membantu mereka membeli alat tersebut.
"Kosnya mungkin kita boleh bincang lagi. Saya dimaklumkan mahalnya sistem itu bukan kerana sistem panel solar itu, tetapi pada kerja-kerja pengerudian untuk dapatkan sumber air kerana ia memerlukan jentera.
"Di Kedah setakat ini ada empat petani menggunakan sistem ini. Dua di daerah Padang Terap serta di Gajah Mati, Pendang dan Pokok Sena," katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh sejam, telaga itu dapat mengeluarkan 1,140 liter air.
"Masa terbaik guna sistem ini adalah pada waktu tengah hari. Mereka yang berminat boleh terus dengan jabatan pertanian untuk dapatkan khidmat nasihat," katanya.