Pucuk pimpinan PKR belum putuskan peletakan jawatan Simsudin

Iklan
Simsudin Sidek -Foto SuaraKeadilan

KOTA KINABALU - Surat peletakan jawatan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Simsudin Sidek sudah diserahkan semalam tetapi pucuk pimpinan belum memutuskan untuk menerimanya.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha PKR Sabah Abdul Razak Jamil setelah bertemu Simsudin semalam.

Iklan
Iklan

"Malam tadi, ada berjumpa dengan beliau (Simsudin) dan memang ada menyerahkan surat peletakan jawatan itu tetapi pihak pimpinan belum pasti untuk menerimanya setakat ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya sama ada Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew sudah dimaklumkan perkara itu, Abdul Razak berkata, beliau tidak pasti kerana Christina juga sibuk berkempen.

Iklan

"Jadi saya tidak pasti dia sudah tahu atau belum, tapi mungkin juga sudah tahu (melalui media)," katanya.

Semalam, Simsudin melalui hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan PKR Sabah dan menghormati keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: PKR pecat ahli bertanding sebagai calon Bebas

"Saya dengan ini meletakkan jawatan saya sebagai Ketua Penerangan PKR Sabah berkuatkuasa serta merta pada hari ini 11 September 2020.

"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh ahli dan pimpinan tertinggi PKR Sabah kerana telah banyak memberi tunjuk ajar dan kepercayaan kepada saya ketika melaksanakan tugas," tulisnya di Facebook.

Beliau berpendapat, pertambahan ketara bilangan ahli PKR Sabah dan pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang menjadi asas justifikasi untuk selayaknya PKR Sabah mendapat pengagihan kerusi yang lebih adil.

Bagaimanapun katanya, beliau akan terus setia kepada PKR kerana sudah 20 tahun bersama dan akan kekal memegang jawatan ketua cabang PKR Labuan.

"Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada seluruh ahli dan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah yang telah memberi sepenuh kerjasama kepada saya sepanjang saya melaksanakan amanah sebagai Ketua Penerangan.

"Saya akan memfokuskan lebih banyak masa untuk aktiviti dan program parti di peringkat cabang," katanya.