Lagi restoran dikesan guna logo halal tidak sah

Iklan
Alwi (dua, kiri) melihat logo halal yang ditampal tanpa kebenaran dalam Operasi Penandaan Logo halal di sekitar bandar hari ini.

KUANTAN - Dua restoran di daerah ini dikesan menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tanpa kebenaran.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Alwi Abd Hamid berkata, kesalahan itu dikesan dalam pemeriksaan dilakukan olehnya bersama pegawai Jabatan Kesihatan Negeri dan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Iklan
Iklan

Menurutnya, logo halal yang dipamerkan di kedua-dua restoran telah disita bagi siasatan lanjut mengikut Perintah 4(1)(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

"Penggunaan sijil atau logo halal adalah untuk pemegang sijil halal yang dikeluarkan JAKIM sahaja. Menjadi satu kesalahan jika ada pihak yang menyalahgunakannya.

Iklan

"Oleh itu, kita mengambil tindakan menyita logo halal dipamerkan di dua restoran itu bagi mengelak pengguna keliru seolah-olah premis itu mendapat pensijilan halal daripada JAKIM,” katanya ketika mengadakan sidang media sebentar tadi.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIP, Muhammad Asyraaf Ahmad Raffli.

Iklan

Dalam pada itu, katanya, pemilik restoran berdepan kesalahan Perintah 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, iaitu menggunakan logo halal JAKIM tanpa kebenaran.

Jelasnya, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM250,000.

Sebelum itu, Alwi berkata, pihaknya sudah menjalankan operasi tersebut sejak 11 Januari lalu dengan memeriksa 163 restoran di seluruh negeri ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 53 restoran adalah di daerah ini.