KETUA Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah menyifatkan pemilik baharu skuad The Red Warriors (TRW) itu Norizam Tukiman sebagai individu yang berpengetahuan dalam sukan bola sepak berdasarkan kepada motivasi yang sering diberikannya kepada pemain pasukan berkenaan.
Menurut Yusri, biarpun Norizam menyedari dia tidak memiliki TRW sejak awal, namun dia tetap mahu membantu khususnya membentuk pemikiran pemain agar lebih profesional dan positif.
"Norizam sering berikan motivasi kepada saya dan pemain Kelantan dan daripada situ saya tahu dia bukanlah seseorang yang tidak tahu pasal bola.
"Apa yang boleh saya katakan hari ini, pemilik TRW hari ini bukan sahaja ada semangat tetapi ada arif mengenai bola sepak,” katanya.
Kelmarin pada aksi Liga Premier, anak buah Yusri menewaskan Perak II 1-0 hasil jaringan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-45 dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Kelantan berada pada tangga lapan liga dengan lapan mata setelah mengharungi tujuh perlawanan.
Sementara itu, Yusri berharap kesebelasan pemain bersedia untuk berdepan Kuching FA di Stadium Negeri Kuching pada 20 September ini.
Justeru katanya, pemain perlu lebih efektif dalam merencanakan serangan ke gawang lawan demi menjamin kejayaan kelak.
"Apa pun saya pasti ia bukan satu tugas mudah kepada kesebelasan pemain untuk mencapai kemenangan di Kuching nanti.
"Jadi kita perlu perbaiki kelemahan kita untuk mengharungi baki empat perlawanan musim ini selain cuba memberikan aksi yang terbaik bagi menempah slot beraksi dalam saingan Piala Malaysia nanti,” katanya.