Chaya mahu jadi wakil rakyat pertama di DUN Kukusan

Iklan
Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Chaya Sulaiman bergambar bersama penduduk ketika Majlis Pertemuan Calon DUN Kukusan dan Tanjung Batu Bersama Penduduk Kampung Tanjung Batu Logpond, Tawau semalam.

TAWAU - Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Chaya Sulaiman mahu mencipta sejarah menjadi wakil rakyat pertama di kawasan itu.

Menurut calon wanita tunggal Barisan Nasional (BN) itu, DUN Kukusan antara 13 DUN baharu yang dipertandingkan dalam PRN Sabah.

Iklan
Iklan

"Syukur Alhamdulillah, saya diberi kepercayaan pucuk pimpinan untuk menjadi calon di DUN Kukusan dan DUN ini adalah kawasan baharu yang dipertandingkan.

"Saya sangat teruja dan mahu mencipta sejarah menjadi wakil rakyat wanita pertama di sini," katanya selepas Majlis Pertemuan Calon DUN Kukusan dan Tanjung Batu Bersama Penduduk Kampung Tanjung Batu Logpond di sini semalam.

Iklan

Menurut Chaya, pemilihannya sebagai calon mewakili BN dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah bukti kepada kesabaran dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan parti.

Andy Suryandy Bandy

"Bagi saya pemilihan sebagai calon BN dan PN ini sebagai manisnya sebuah kesabaran dan kesetiaan, jadi saya berharap pengundi di kawasan ini memilih saya untuk mewakili mereka sekali gus membangun bersama," katanya.

Iklan

Sementara itu, calon DUN Tanjung Batu, Andy Suryandy Bandy yang juga mewakili BN berkata, saingan enam penjuru oleh parti tempatan di kerusi itu tidak boleh dipandang ringan.

"Setiap calon mempunyai kekuatan masing-masing jadi kita tak boleh pandang ringan, kita kena berusaha dan berharap pengundi di sini terus memberi sokongan kepada kita," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada majlis yang sama.

Terdahulu ditanya misinya untuk menjadi wakil rakyat, beliau mahu membantu kerajaan Pusat untuk meningkatkan semula keadaan ekonomi yang dilihat merudum sejak pemerintahan di bawah Parti Warisan Sabah (Warisan) dan PH Plus sebelum ini.

"Kita mahu ambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Warisan kerana mereka telah gagal mentadbir negeri ini selama 27 bulan, ekonomi merudum, rakyat hilang pekerjaan, kos sara hidup semakin tinggi, jadi kita perlukan perubahan," katanya.