Kemudahan asas, infrastruktur masih jadi isu utama di Sabah

Iklan
Masalah kemudahan asas dan infrastruktur seperti bekalan air bersih, elektrik, jalan raya dan liputan jaringan telekomunikasi kekal menjadi isu utama di Sabah.

KOTA KINABALU - Masalah kemudahan asas dan infrastruktur seperti bekalan air bersih, elektrik, jalan raya dan liputan jaringan telekomunikasi kekal menjadi isu utama di Sabah.

Isu itu sering dimainkan pelbagai pihak termasuk pemimpin parti politik dan penduduk kampung khususnya di kawasan luar bandar.

Iklan
Iklan

Dalam kehangatan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada hujung bulan ini, rakyat Sabah khususnya penduduk kampung mahu bakal wakil rakyat di kawasan masing-masing memberi tumpuan untuk menaik taraf kemudahan asas dan infrastruktur di situ.

Penduduk kampung mendakwa meskipun pembangunan ada dilaksanakan di kawasan mereka, masih banyak kemudahan yang diperlukan seperti jalan raya berturap dan capaian jaringan telekomunikasi.

Iklan

"Kami bersyukur kerana baru-baru ini, kampung kami telah menerima jaringan Internet apabila pencawang telekomunikasi telah siap dibina di kawasan kampung kami namun kami masih menagih pembangunan lain seperti jalan raya,” kata Sinson Madamin yang merupakan Ketua Kampung di Pinahawaon, Inanam ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, sudah lama penduduk mengharapkan agar jalan raya dibina dari Kampung Pinahawaon ke Kampung Kionsom yang juga terletak di Inanam.

Iklan

"Jalan berkenaan sangat penting kerana ia akan menjimatkan masa perjalanan. Sekiranya jalan ini dibina, hanya 30 hingga 40 minit masa yang akan diambil untuk ke pekan Inanam... kini penduduk di sini terpaksa melalui pekan Kiulu dan Tamparuli untuk ke pekan Inanam atau Kota Kinabalu yang perjalanannya memakan masa dua atau tiga jam.

"Oleh itu kami mahu wakil rakyat yang mewakili kami di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam dapat memperjuang dan mengangkat permintaan kami agar jalan berkenaan dapat dibina,” katanya.

Sinson berkata, penduduk meminta agar jalan raya itu dibina sejak lebih 20 tahun lepas tetapi malangnya, perkara tersebut gagal direalisasikan.

"Kami harap calon yang menang di kerusi DUN Inanam benar-benar ikhlas membantu dan berjiwa rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Pinagon Baru di Kiulu, Martin Lotupas berkata, penduduk mahukan wakil rakyat yang rajin dan prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat.

"Selain itu, kami mahu wakil rakyat yang berada dalam kerajaan kerana tiada pembangunan yang akan dibawa ke kampung-kampung sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berada di pihak pembangkang.

"Kami tidak mahu lagi kampung kami ketinggalan dari segi infrastruktur dengan kampung lain yang diwakili wakil rakyat daripada kerajaan,” katanya. - Bernama