Biarpun KV Kortrijk berjaya menewaskan kelab tercorot Divisyen 1 A Liga Profesional Jupiler, R Excel Mouscron 3-0 awal pagi tadi, peminat bola sepak tanah air pastinya tertanya-tanya mengenai ‘ketiadaan’ pemain muda negara Luqman Hakim Shamsudin.
Setelah mencipta impak tersendiri dengan menjaringkan gol tunggal skuad bawah 21 tahun KV Kortrijk yang tewas 1-4 kepada KRC Gent 26 Ogos lalu selain meledak satu gol ketika membantu skuad senior menewaskan BX Brussel 2-1 pada aksi persahabatan 5 September lalu, kelibat pemain berusia 18 tahun itu pastinya dinanti-nantikan peminat bola sepak tanah air.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun, nama pemain berasal dari Kota Bharu itu yang diberitakan mungkin melakukan debut sulungnya bersama skuad The Reds itu turut tidak berada dalam senarai pemain simpanan pasukan kendalian Yves Vanderhaeghe itu.
Perlawanan awal pagi tadi menyaksikan KV Kortrijk menewaskan R Excel Mouscron menerusi jaringan pemain kelahiran Republik Congo, Ilombe Mboyo pada minit ke-59, Giles Dewaele (m-63) dan pemain kelahiran Ghana, Eric Ocansey pada minit ke-83).
Skuad The Reds itu bagaimanapun gagal menambah jaringan biarpun berdepan Mouscron yang beraksi dengan 10 pemain apabila pemain kelahiran Cameroon Jean Onana dan Danny Hacko (Montenegro) dilayangkan kad merah pada minit ke-32 dan 85.
Kemenangan berkenaan menyaksikan KV Kortrijk kini berkongsi kedudukan kedua dengan Standard Lige dengan mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan, seri sekali dan tewas sekali daripada lima perlawanan setakat ini.
Apa pun, diharapkan agar Luqman Hakim akan dapat diturunkan dalam kesebelasan utama skuad KV Kortrijk pada aksi seterusnya berdepan Lige 20 September ini di Stadium Maurice Dufrasne.