Hafizh Syahrin terkilan angkara masalah tayar

Iklan
Hafizh Syahrin kembali beraksi selepas mengalami kemalangan pada GP Austria di Litar Red Bull Ring 16 Ogos lepas.

PELUMBA Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah yang membuat penampilan semula selepas terlibat dalam kemalangan mengerikan kira-kira sebulan yang lalu, agak terkilan kerana masalah cengkaman tayar menghalangnya daripada menamatkan perlumbaan di Grand Prix (GP) San Marino semalam.

Pelumba berusia 26 tahun itu berada di landasan untuk mendapatkan kedudukan 10 terbaik dalam usaha mengumpul mata kejuaraan di Litar Dunia Misano, sebelum tersingkir dengan hanya empat pusingan lagi untuk menamatkan perlumbaan.

Iklan
Iklan

Pelumba Oceanica Aspar Team Moto2 itu memulakan saingan walaupun mengalami lebam di bahagian pelvis akibat kemalangan semasa GP Austria di Litar Red Bull Ring pada 16 Ogos lalu dan masih berduka di atas kehilangan neneknya Isnin minggu lalu.

"Ia bukanlah satu permulaan yang teruk, saya berada di posisi terbaik pada awal perlumbaan tetapi saya berhadapan dengan masalah cengkaman tayar belakang.

Iklan

"Sangat sukar bagi saya untuk menukar arah di sebelah kiri. Bagaimanapun, saya berusaha sebaik mungkin kerana saya mahukan kedudukan terbaik dalam perlumbaan ini untuk pasukan saya dan sebagai memperingati arwah nenek saya (Arbaieah Muhammad).

"Saya sedikit bergelut dengan masalah itu. Ada suatu ketika saya tidak dapat mengawal motosikal dengan baik apabila secara tiba-tiba hilang cengkaman di bahagian depan di selekoh terakhir.

Iklan

"Ia sedikit mengecewakan kerana saya sudah cuba untuk mengekalkan kedudukan dan sebenarnya boleh menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik," katanya ketika dihubungi.

Begitupun, pelumba dari Selangor itu berazam untuk memperbaiki persembahan dan melakukan pelarasan kepada motosikal untuk perlumbaan hujung minggu ini di litar yang sama.

Hafizh Syahrin kini berada di kedudukan ke-16 di antara 32 pelumba dalam kejuaraan dunia itu dengan mengumpul 17 mata, sementara Luca Marini dari Itali mendahului dengan 112 mata. - Bernama