Anjing bomba kesan bau Nora Anne

Iklan
Nora Anne

SEREMBAN - Mahkamah Koroner semalam dimaklumkan dua ekor anjing milik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berjaya mengesan bau remaja perempuan warga Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin yang hilang pada 4 Ogos 2019 di beberapa lokasi berhampiran The Dusun Resort.

Saksi ke-16 prosiding inkues bagi menentukan punca kematian gadis itu, penyelia operasi Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, Pegawai Kanan 1 Bomba, Fadzil Arshad, 52, berkata, anjing jenis Labrador dan Border Collie, baka dari United Kingdom berjaya mengesan bau pertama Nora Anne kira-kira 100 meter dari tingkap vila penginapan gadis berkenaan pada 5 Ogos 2019.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ia disusuli dengan kejayaan pengesanan bau Nora Anne di saliran air berbatu dan kolam ternakan ikan, tidak jauh dari vila berkenaan pada sebelah petang hari yang sama.

"Pada 6 Ogos, unit kami sambung pencarian di kawasan saliran air berbatu menggunakan anjing yang sama dan anjing telah menarik kuat dan melepasi tandas terbiar dan kemudian menggigit botol mineral yang ditemui berkemungkinan milik Nora Anne.

Iklan

"Kedua-dua anjing kemudian melepasi longkang konkrit dan terus ke saliran air dan memberi reaksi kuat di jeram berbatu. Penemuan ini telah saya maklumkan kepada pegawai atasan Mohamad Idris," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid pada prosiding yang memasuki hari kesembilan semalam.

Fadzil berkata, usaha mengesan Nora Anne diteruskan pada keesokannya dengan tertumpu di lokasi jeram berbatu dan kedua-dua anjing masih memberikan reaksi sama serta tidak mahu ke mana-mana.

Iklan

"Jika dibawa ke seberang, dia akan tetap patah balik ke jeram berbatu," katanya.

Beliau berkata, pada hari berikutnya yang merupakan hari keempat sejak mula dipanggil membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan itu pada 5 Ogos, mereka telah diminta untuk menunjukkan lokasi penemuan bau itu kepada polis.

"Selepas itu, khidmat kami tidak lagi diperlukan dan tugas kami sampai di situ saja," katanya.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Norhafiza Haron yang bertindak sebagai Pegawai Pengendali Inkues fungsi kedua-dua anjing berkenaan, Fadzil berkata:"Ia dilatih untuk mengesan orang hilang dan sesat di hutan".

Sementara itu, saksi ke-17, Pegawai Tinggi Bomba, P Ravi, 50, dari Unit K9 JBPM, Jalan Klang Lama, pula memberitahu mahkamah pasukannya hanya menyertai operasi SAR berkenaan pada 10 Ogos selepas dipanggil membantu Pusat Gerakan Operasi (PGO) pada 9 Ogos.

"Kami membawa anjing baka Inggeris Spinger Spaniel atau ESS yang dilatih untuk mengesan mayat. Saya melaporkan diri kepada Komander Operasi Ahmad Mukhlis Moktar dan diberikan taklimat kawasan pencarian pada 9 pagi, 10 Ogos.

"Kami melakukan pengesanan bermula dari sebuah kuil Hindu menuju ke loji air, lokasi dikatakan orang hilang mandi.

"Sepanjang bermula hingga sampai ke tempat yang kami berhenti, tiada sebarang reaksi positif daripada anjing. Kami diminta kesan body jika ada di kawasan itu," katanya dan menambah khidmat pasukannya diperlukan sehari saja bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

Terdahulu, saksi ke-15 Lans Koperal Sylvester Kirinus, 31, yang bertugas di Unit K9, Bukit Aman berkata anjing jenis German Shepherd yang digunakan pada malam 4 Ogos hari pertama Nora Anne dilaporkan hilang gagal menemui sebarang petunjuk.

Hasil carian kali kedua dan ketiga masing-masing pada 9 dan 10 Ogos, turut gagal, katanya.

Prosiding inkues akan bersambung pada 2 Oktober depan dengan dua saksi dari unit K9 JBPM akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Sebelum ini, prosiding telah berlangsung selama dua minggu bermula 24 Ogos hingga 27 Ogos dan kemudian bersambung semula dari 1 hingga 4 September.

Seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan dan setakat ini seramai 17 saksi telah dipanggil.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak menunjukkan unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan. - Bernama