KUANTAN - Seorang peniaga terpaksa berputih mata apabila terbeli kereta tidak wujud yang diiklankan melalui sebuah laman sesawang.
Mangsa berusia 36 tahun itu membeli kereta jenis Proton Waja dengan harga RM6,800 namun menyedari ditipu apabila gagal menghubungi ‘penjual’ selepas datang untuk mengambil kereta tersebut di Batu Caves, Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berminat untuk membeli kereta yang diiklankan itu selepas melayari laman sesawang berkenaan pada Sabtu lalu.
"Pada hari yang sama, mangsa menghubungi ‘penjualnya’ untuk berurusan dan hasil perbincangan dia bersetuju untuk membeli kereta itu pada harga ditawarkan.
"Mangsa menjelaskan bayarannya dan diminta mengambil kereta tersebut di Batu Caves namun ketika sampai di sana,‘penjual’ itu gagal dihubungi. Mohd Mangsa mengesyaki ditipu lalu membuat laporan polis, semalam,” katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan pemilik akaun sebuah bank yang digunakan untuk transaksi pembayaran kenderaan tidak wujud itu.
Sementara itu, Mohd Wazir berkata, dalam kes berasingan seorang pekerja wanita syarikat menjual alat penapis air rugi RM5,050 apabila terjerat dengan iklan pinjaman wang tidak wujud yang diiklankan melalui Facebook.
Mangsa berusia 41 tahun berhasrat meminjam RM20,000 dan menghubungi ejen pinjaman melalui nombor telefon tertera untuk berurusan, awal Januari lalu.
"Sebagai syarat kelulusan, mangsa diminta membuat beberapa bayaran kononnya untuk kos permohonan, yuran peguam, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan beberapa bayaran lain.
"Mangsa yang tidak menyedari ditipu membuat beberapa bayaran seperti diminta membabitkan jumlah keseluruhan RM5,050 namun mula curiga dan syak ditipu apabila ejen berkenaan meminta dia membuat beberapa bayaran lain lalu membuat laporan polis semalam,” katanya.