KUALA LUMPUR - Seorang pekerja khidmat pelanggan di sebuah syarikat swasta didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menolong menyembunyikan wang milik individu lain berjumlah RM6,000 ke dalam akaun bank miliknya, tahun lepas.
Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Haziq Hilman Halim, 20, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Iklan
Iklan
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.
Lelaki itu didakwa dengan curangnya telah menolong menyembunyikan harta milik tukang masak restoran Lai Wai Mun, 39, iaitu wang berjumlah RM6,000 ke dalam akaun Ambank yang didaftarkan di atas nama tertuduh dengan sebab untuk mempercayai bahawa ia bukanlah hak milik tertuduh.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan 13/149L Bandar Baru Sri Petaling di sini pada 16 Jan hingga 18 Jan 2018 mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.
Bagaimanapun, Muhammad Haziq yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum dengan alasan dia penanggung tunggal keluarga. - Bernama