Pasangan, anak warganegara dibenar masuk Malaysia

Iklan
Khairul Dzaimee Daud

PUTRAJAYA - Pasangan dan anak kepada warganegara Malaysia yang tidak mempunyai Pas Lawatan Jangka Panjang boleh memohon kebenaran untuk masuk ke Malaysia, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Menurutnya, kemudahan itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan seperti diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan pada 25 Ogos yang lalu.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, mereka diwajibkan untuk terus memohon Pas Lawatan Jangka Panjang setelah selesai proses kuarantin wajib seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pemohon perlu membuat permohonan melalui emel gforce@imi.gov.my dan permohonan ini akan diproses serta dibawa ke mesyuarat Task Force Kemasukan Warga Asing ke Malaysia bagi penilaian sebelum kebenaran masuk diberikan.

Iklan

"Pemohon yang dibenarkan masuk ke Malaysia bagi kategori ini adalah isteri kepada warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap, suami kepada warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap serta anak kepada warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemohon juga terdiri daripada suami atau isteri warga asing kepada warganegara Malaysia yang berkahwin secara sah mengikut undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia dan mendaftarkan perkahwinan mereka dengan pihak berkuasa iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri serta Kedutaan Malaysia atau Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Luar Negara.

Iklan

Bagaimanapun katanya, pemohon dari negara yang dibenarkan masuk sahaja akan diproses dan dipertimbangkan kebenaran masuk.

"Bagi negara-negara yang dikenakan sekatan kebenaran masuk, permohonan kebenaran masuk tidak akan dipertimbangkan sehingga ada satu keputusan baharu menarik balik sekatan kebenaran masuk bagi negara-negara tersebut," katanya.

Menurut beliau, orang ramai boleh melayari laman web www.imi.gov.my bagi mendapatkan tatacara dan panduan permohonan masuk bagi kategori ini sebelum menghantar permohonan lengkap ke gforce@imi.gov.my.

Tegasnya, pihaknya menasihatkan semua pelawat asing dan warganegara Malaysia supaya sentiasa mematuhi arahan dan peraturan semasa serta peka dengan pengumuman terkini daripada agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik koronavirus (Covid-19).

Tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan ke atas mereka yang ingkar dan gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).