PRN Sabah: Kempen hangat di kubu kuat

Iklan
Sipitang, 14 Sept -- Bendera Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) kelihatan berkibar memeriahkan lagi kehangatan berkempen ketika tinjauan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di sekitar Pekan Sipitang. -Foto Bernama

SEMPORNA - Siri kempen di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Semporna semakin rancak dengan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah giat mendekati pengundi.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilihat antara yang agak agresif berkempen di kubu kuatnya di sini sebaik sahaja diumumkan calon bagi mempertahankan kerusi DUN Senallang pada Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Menteri itu mengorak langkah dengan mengunjungi Pulau Bum Bum yang mengambil masa perjalanan kira-kira 10 minit dari Pekan Semporna dengan menaiki bot.

Berdepan dengan pertandingan lima penjuru, Mohd Shafie meluangkan masa dari tengah hari hingga lewat malam pada hari pertama berkempen dengan mengunjungi kawasan perkampungan di pulau itu yang mempunyai kira-kira 32,000 penduduk.

Iklan

DUN Senallang, Sulabayan dan Bugaya terletak di bawah Parlimen Semporna.

"Sebanyak 80 peratus kaedah berkempen saya gunakan adalah dengan bertemu dan mendampingi. Tidak semua ada kemudahan telefon dan internet. Kalau kita berjumpa pengundi, mereka boleh lihat wajah kita,” katanya.

Mohd Shafie Apdal mula berkempen di Kampung Balimbang Pulau Bum Bum sebaik sahaja proses penamaan calon tamat. -Foto Bernama

Iklan

Pada hari kedua dan ketiga berkempen, Mohd Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna menjelajah dan berkempen di beberapa kampung sebelum ke kawasan lain iaitu Kunak, Lahad Datu serta Tawau bagi membantu kempen partinya.

Sementara itu, lain pula ceritanya bagi pencabar Mohd Shafie, Norazman Utoh Nain, calon Perikatan Nasional (PN) apabila beliau terlebih dahulu membuka tirai kempennya dengan bertemu ketua masyarakat dan kaum di sekitar DUN Senallang.

Calon Bersatu DUN Senallang yang juga Naib Ketua Bersatu Bahagian Semporna, Norazman Utoh Nain ketika berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Kampung Senallang hari ini. -Foto Bernama

"Setakat ini, saya berjaya berjumpa lebih 50 peratus ketua kaum di DUN berkenaan dan kaedah kempen akan berubah sedikit. Kita akan mula masuk ke 11 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan melawat tiga PDM dalam masa sehari,” katanya ketika ditemui di markas PN Senallang semalam.

Enggan dibayangi Mohd Shafie, yang juga pakciknya sendiri, Norazman berkata beliau mahu menerangkan kepada pengundi betapa perlunya perubahan pimpinan di kawasan itu ekoran dakwaan kurangnya pembangunan dan kemajuan oleh pemimpin sebelum ini.

Sementara itu, calon PN DUN Bugaya pula, Mohd Daud Tampokong, yang berdepan pertandingan tujuh penjuru, berkata, walaupun sebagai calon muka baharu, namun gerak kerja jentera sudah semakin tersusun untuk mendampingi pengundi di peringkat akar umbi.

Ketua Bersatu Bahagian Semporna itu berkata, beliau sudah berkempen sehingga meliputi empat daripada 11 kawasan PDM di DUN itu dengan membawa fokus mengenai betapa pentingnya kerajaan negeri selari dengan kerajaan persekutuan bagi memudahkan agenda pembangunan dapat direalisasikan.

Bagaimanapun, gerak kerja kempen bagi calon beberapa parti lain seperti Parti Cinta Sabah (PCS), USNO serta calon Bebas masih kurang kelihatan.

Setakat ini, poster dan bendera parti terutamanya membabitkan blok utama iaitu Warisan Plus, Barisan Nasional (BN) dan PN mula dipacak di pelbagai lokasi tumpuan dengan jentera parti bertungkus-lumus, tanpa mengira hujan dan panas menyiapkan tugasan mereka.

Warisan boleh dikatakan mendominasi perang bendera dan poster di ketiga-tiga DUN itu apabila hampir kesemua jalan utama dipenuhi dengan bendera parti itu, selain papan iklan gergasi memaparkan wajah Mohd Shafie dengan moto ‘In God We Trust, United We Must’.

Jumlah pemilih berdaftar di DUN Senallang pada PRN Sabah, 26 September ini adalah sebanyak 14,336 orang, DUN Bugaya (20,267) dan DUN Sulabayan (14,012). - Bernama