Tergamak libas ibu dengan pisau pemotong daging

Iklan
Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dan lengan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.

BUTTERWORTH - Seorang warga emas luka di kepala dan lengan kanannya akibat dilibas dengan pisau pemotong daging oleh anak lelakinya dalam kejadian di sebuah rumah di Flat Rumah Hijau, Mak Mandin di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa yang berusia 67 tahun luka sepanjang lapan sentimeter (sm) di kepalanya manakala 10 sm pada lengan kanannya.

Iklan
Iklan

"Mengikut keterangan mangsa, kejadian berlaku ketika dia sedang mengemas rumah dan mendapati lampu dalam bilik suspek tidak dipadam. Dia kemudian meminta suspek memadamkan lampu dan terus mengemas rumah.

"Namun tiba-tiba suspek meluru ke dapur dan mengambil sebilah pisau pemotong daging lalu melibas ke arah mangsa. Warga emas tersebut yang ketakutan menahannya dengan lengan lalu cedera pada lengan kanan serta kepala," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Tambahnya, mangsa dan suspek yang tidak bekerja tinggal berdua di kediaman tersebut dan kerap dilaporkan bertengkar dipercayai kerana mangsa enggan memberi suspek wang.

Polis berjaya memujuk suspek lalu merampas pisau dan menahannya untuk siasatan lanjut.

Noorzainy berkata, kejadian dipercayai berpunca selepas mangsa enggan memberi suspek wang untuk membeli dadah.

Iklan

"Selepas kejadian itu, suspek membuka pintu rumah lalu menghalau mangsa keluar. Mangsa yang ketakutan telah keluar dan berlindung di rumah jiran sehingga polis dan ambulans tiba.

"Polis berjaya memujuk suspek yang masih berada di rumahnya untuk menyerahkan pisau yang masih berada di tangannya. Suspek berusia 42 tahun kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Noorzainy berkata, suspek mempunyai tujuh rekod lampau melibatkan dua kes jenayah dan lima kes melibatkan dadah.

"Ujian saringan air kencing suspek positif syabu. Dia direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata tajam," katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya namun dibenarkan pulang selepas diberi rawatan.