KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) disyorkan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik pub dan kelab malam yang beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk mengheret mereka ke mahkamah dan menarik balik lesen operasi.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini memandangkan kesalahan ingkar PKPP melibatkan aktiviti di pub dan kelab malam terus merekodkan kesalahan tertinggi meskipun premis ini masih dalam senarai larangan beroperasi.
"Setiap hari tangkapan melibatkan aktiviti di kelab malam dan pub tinggi kerana premis-premis ini masih tersenarai dalam senarai yang dilarang beroperasi disebabkan sukar untuk mengawal penjarakan fizikal dan prosedur operasi standard (SOP) yang lain.
"Saya sudah minta PBT kalau premis ini ada lesen kita minta agar lesen mereka ditarik dan tutup perniagaan... mungkin tindakan lebih keras boleh diambil dengan hadapkan mereka ke mahkamah untuk hukuman lebih berat seperti penjara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Kad Aku Janji Pematuhan SOP koronavirus (Covid-19) sempena Kempen Bulan Kebangsaan Perbadanan Nasional (PNS) di sini, hari ini.
Katanya, setakat ini belum ada perbincangan untuk membenarkan kelab malam dan pub kembali beroperasi.
Mengenai pemeriksaan pematuhan SOP premis perniagaan, Ismail Sabri berkata, berdasarkan laporan harian yang diterima didapati tiada tangkapan dilakukan terhadap premis perniagaan berhubung pelanggaran SOP.
"Setakat hari ini, tidak banyak premis perniagaan diambil tindakan cuma ada yang berniaga lebih masa tetapi tiada tangkapan dilakukan maka saya anggap tiada tangkapan tentulah pematuhan dilaksanakan.
"Bagaimanapun ramai yang masih keliru dari segi kedudukan di meja makan, setiap individu yang duduk di meja makan itu mesti ada penjarakan fizikal tidak kiralah besar mana meja tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri sekali lagi menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mengenakan kuarantin terhadap mereka yang pulang dari Sabah.
"Ia hanya akan dilakukan sekiranya negeri itu diisytiharkan sebagai Zon Merah... selagi seluruh Sabah tidak diisytiharkan sebagai Zon Merah selagi itu kita tidak perlu adakan kuarantin, bagaimanapun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia akan buat kajian dari semasa ke semasa ikut pada jumlah kes berlaku,” katanya. - Bernama