DALAM dunia kanak-kanak penulis dahulu, ia hanya dipenuhi dengan kegembiraan dan keseronokan bermain bersama kawan-kawan tanpa ada rasa yang mampu menjerut rasa ketika itu.
Namun, pada pengamatan penulis, kanak-kanak hari ini tidak seperti kita dahulu. Mungkin kerana persekitaran yang mempengaruhi kehidupan seharian.
Mereka terdedah kepada pelbagai peristiwa yang boleh menyumbang kepada masalah kesihatan mental pada peringkat usia yang masih muda.
Beberapa penyelidik menyimpulkan punca masalah kesihatan mental berlaku adalah berkait rapat dengan interaksi faktor-faktor biologi, psikologi dan persekitaran.
Pendedahan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati seramai 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah mental.
Ia satu angka yang sangat membimbangkan, sementelah penulis sendiri mempunyai anak-anak dalam lingkungan usia tujuh hingga 14 tahun.
Adakah kita benar-benar yakin kesihatan mental anak-anak kita berada pada tahap yang tidak perlu dibimbangkan?
Kita seolah-olah terlepas pandang isu kesihatan mental anak kecil ini. Keadaan ekonomi yang merudum akibat pandemik koronavirus (Covid-19) hari ini menambahkan lagi ketidakpekaan sesetengah daripada kita terhadap apa yang berlaku kepada emosi anak-anak kerana emosi kita sendiri tidak stabil dengan pelbagai masalah berkaitan kerjaya.
Jangan terkejut, sebenarnya antara yang menjadi punca masalah kesihatan mental kanak-kanak itu bermula dari rumah.
Selama ini kita berasakan apa yang kita lakukan untuk anak-anak sudah memadai buat kehidupan mereka tetapi ia mungkin tidak sesuai dari sisi emosi anak-anak.
Buli siber
Begitu juga dengan kemajuan teknologi dan penggunaan media sosial hari ini turut dikatakan menjadi penyumbang tertinggi kepada masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak.
Budaya buli siber adalah salah satu faktor masalah tersebut menjadi semakin serius. Bukan hanya orang yang dibuli boleh menghadapi tekanan jiwa tetapi orang yang suka membuli juga adalah petanda tingkah laku ganas yang ada kaitan dengan kesihatan mental.
Jika orang dewasa tidak mampu menerima ejekan tentang warna kulit, bentuk badan dan lain-lain bentuk ejekan, apatah lagi kanak-kanak. Jika tidak ditangani dengan sebaiknya, emosi yang tercalar sejak kecil itu akan dibawa sehingga dewasa.
Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak mungkin berbeza dengan orang dewasa yang menyebabkan ia tidak dapat dikesan dari awal. Ditambah dengan kesibukan tugas seharian kadang-kadang menyukarkan kita sebagai ibu bapa untuk berkomunikasi dengan anak-anak, sekali gus mengesan perubahan yang berlaku kepada mereka.
Menurut portal The Asian Parent, jika kanak-kanak mengalami gejala seperti perubahan mood lebih dua minggu, sering ketakutan atau terlebih risau, perubahan perangai yang ekstrem, perubahan fizikal yang mendadak dan sukar memberi tumpuan, kita kena sedar itu adalah tanda-tanda amaran anak kita mengalami gangguan mental.
Sementara itu, Penaung Befrienders Kuala lumpur, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, persekitaran sihat di sekolah juga amat penting kerana kanak-kanak menghabiskan banyak masa di sekolah setiap hari dan mereka perlu dilengkapi kemahiran untuik menangani tekanan dengan cara berkesan, selesaikan masalah dan membina ketahanan diri.
Beliau berkata, dengan menggabungkan kesemua elemen itu dalam silibus sekolah, ia boleh membantu meningkatkan kesihatan mental kanak-kanak.
Golongan kanak-kanak juga mempunyai banyak perubahan dalam kehidupan mereka yang kadang-kadang membuatkan mereka tertekan dan jika tidak ditangani dengan betul, gejala itu akan berlarutan sehingga mereka dewasa.
Namun, pokok pangkalnya jangan ambil mudah isu berkaitan masalah kesihatan mental terutama dalam kalangan kanak-kanak.
* Wan Rosida Wan Hamad ialah Web Master Sinar Online