SHAH ALAM - Lebih 7,000 buah buku Nota My#Quran Time terjual dalam tempoh seminggu sejak ia diterbikan.
Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, buku terbitan Karya Bestari itu adalah manuskrip daripada program My#QuranTime yang disiarkan di TV AlHijrah daripada siri pertama sehingga ke-30.
Menurutnya, pemilik 1,000 naskah pertama Nota My#Quran Time bakal menerima buku yang ditandatangani Qari My#Quran Time, Tirmizi Ali dan Tarmizi Abdul Rahman.
"Ini sebagai penghargaan kepada mereka yang menempah dan menyokong serta bersungguh-sungguh untuk mempelajari ilmu al-Quran menerusi program My#Quran Time.
"Buku ini adalah juzuk pertama dan kita masih ada 29 juzuk lagi. Jika diikutkan perancangan, kita akan mengeluarkan satu juzuk setiap bulan," katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Menandatangani Buka Nota My#Quran Time bersama Tirmizi dan Tarmizi di Kumpulan Karangkraf di sini semalam.
Sementara itu, Tirmizi berkata, melalui buku Nota My#Quran Time, pembaca bukan sahaja dapat membaca al-Quran dengan baik, namun yang lebih penting, mereka dapat mempelajari mesej-mesej yang disampaikan ALLAH SWT melalui al-Quran itu sendiri.
Menurutnya, buku tersebut turut diselitkan kaedah-kaedah membaca al-Quran dengan betul termasuk ilmu tajwid.
Tarmizi pula berkata, selepas pengenalan ilmu tajwid dalam juzuk pertama, pembaca akan diberi pendedahan mengenai ilmu taranum pada buku Nota My#Quran Time akan datang.
"Selain menonton rancangan My#Quran Time di televisyen atau di sosial media, penting juga untuk kita memerhati dan mengulang kaji ilmu-ilmu atau dapatan-dapatan bagi menambahkan lagi kefahaman dan juga kemahiran kita dengan al-Quran, insya-ALLAH,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin mengakui sambutan yang diterima amat menggalakkan sejak tempahan awal dibuka bulan lalu.
Menurutnya, pengisian buku tersebut menggunakan bahasa yang mudah dan santai bagi memberi kemudahan kepada mereka yang kurang berkemahiran dalam al-Quran untuk membacanya termasuk kanak-kanak pada peringkat sekolah rendah.
"Buku Nota My#Quran Time dijual pada harga RM30 sebuah. Kita sasarkan untuk mengeluarkan sebanyak 100,000 naskah Nota My#Quran Time setiap bulan bagi setiap juzuk berdasarkan fenomena dan pengikut yang ramai bagi program tersebut,” katanya.