KOTA KINABALU - Parti Bersatu Sabah (PBS) mempertahankan keputusannya untuk menambah jumlah kerusi yang ditandingi daripada 15 kepada 22 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Jahid Jahim berkata, pihaknya bukanlah ‘tamak’ dalam mendapatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini namun hanya mempertahankan kedudukan kerusi PBS seterusnya membantu kemenangan Perikatan Nasional (PN).
"Kami sememangnya bersedia untuk ‘perlawanan persahabatan’ ini dengan rakan yang lain sejak hari pertama lagi.
"Kami mengharapkan banyak pertandingan daripada rakan kongsi namun kami tetap bersedia untuk mempertahankan kedudukan kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, PBS menambah sebanyak tujuh lagi kerusi DUN untuk ditandingi pada PRN kali ini berbanding 15 kerusi yang diumumkan beberapa hari sebelum proses penamaan calon diadakan Sabtu lalu.
Pertambahan itu susulan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh pada sidang akhbar Sabtu lalu berhubung jumlah calon yang bertanding mengikut parti.
Kerusi yang ditandingi itu membabitkan DUN Moyog, Lumadan, Paginatan, Tambunan, Bingkor, Liawan dan Tulid.
Dengan pertambahan itu menyebabkan 16 kerusi bertindih dengan parti sekutu mereka berbanding sebelum ini terdapat sekurang-kurangnya sembilan kerusi mengalami pertembungan.
Kerusi tambahan PBS yang bertindih dengan Perikatan Nasional (PN) adalah calon DUN Moyog, John Chryso Masabah bertembung dengan Joseph Sulaiman; calon DUN Paginatan, Arthur Sen bertembung dengan Datuk Abidin Madingkir; calon DUN Bingkor, Peter Jino Allion bertembung Robert Tawik; calon DUN Tulid, Suman Yasambun bertembung dengan Flovia Ng dan calon DUN Liawan, Datuk Daniel Kinsik bertembung dengan Annuar Ayub @ Banand.
Selain itu, calon DUN Lumadan, Ruslan Muharam juga bertembung dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamarlin Ombi dan calon DUN Tambunan, Silverius Bruno bertembung dengan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Radin Maleh mengumumkan secara rasmi 15 kerusi yang akan ditandingi PBS membabitkan DUN Bengkoka, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Tamparuli, Kiulu, Inanam, Api-Api, Tanjung Aru, Kapayan, Limbahau, Kundasang, Melalap, Telupid dan Karamunting.
Dalam 15 kerusi itu, beberapa DUN didapati turut ditandingi oleh BN (DUN Bengkoka, Tanjung Aru, Telupid dan Malalap), PBRS (Matunggong, Tandek dan Kadamaian) dan MCA (Kapayan dan Karamunting).
Terdahulu, PBS adalah rakan sekutu bersama PN dan BN.