KUALA LUMPUR - Mereka yang ingin mengambil pembiayaan untuk melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (Pembiayaan ASB) dinasihatkan supaya mengambilnya berdasarkan kemampuan membayar ansuran bulanan untuk mengelak masalah jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, kemampuan membayar ansuran bulanan bermaksud peminjam mestilah mampu membayar ansuran menggunakan gaji bulanan, bukannya mengharapkan dividen semata-mata.
"Sebagai contoh, jika kemampuan membayar ansuran bulanan adalah sebanyak RM100 untuk jumlah pembiayaan sebanyak RM50,000 bagi tempoh 10 tahun, ambillah jumlah berkenaan.
"Jangan pula ambil sebanyak RM200,000 semata-mata kerana anda layak mengambil jumlah itu tetapi terpaksa bergantung kepada agihan pendapatan bagi membayar ansuran bulanan,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian di pejabatnya dekat Menara PNB di sini baru-baru ini.
ASB ialah unit amanah harga tetap yang ditawarkan ASNB kepada bumiputera yang layak dengan pelaburan permulaan sebanyak RM10.
Pelabur boleh melabur dalam ASB secara tunai atau memilih untuk mengambil pembiayaan ASB yang ditawarkan oleh bank seperti Maybank, RHB Bank, CIMB Bank dan Bank Islam.
Selain itu, pelabur yang mengambil Pembiayaan ASB mestilah berusaha untuk mendapat kadar pembiayaan yang paling kompetitif.
Mengulas risiko pembiayaan ASB, beliau menjelaskan, pelabur yang mengambil pembiayaan ASB tidak berdepan kerugian modal kerana harga seunit akan kekal pada RM1.
"Cuma risikonya adalah turun naik dividen, namun ia tidak memberi kesan kepada mereka yang mengambil pembiayaan berdasarkan kemampuan dan tidak bergantung kepada dividen bagi membayar agihan pendapatan,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Mohammad berkata, pada masa kini pelabur yang telah mengambil Pembiayaan ASB disaran supaya merebut peluang bagi mendapatkan kadar pembiayaan yang rendah atau paling kompetitif berikutan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Selaras dengan penurunan OPR itu, kebanyakan bank kini menawarkan kadar pembiayaan di bawah empat peratus.
"Jika belum dapat makluman mengenai penurunan kadar faedah, hubungi segera bank anda dan berbincanglah untuk mendapatkan kadar yang lebih baik,” katanya.
Susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19), OPR diturunkan oleh BNM sebanyak 1.25 peratus dengan pengurangan OPR empat kali pada tahun ini iaitu pada Januari, Mac, Mei dan yang terbaharu pada 7 Julai lalu.
Penanda aras
OPR yang menjadi penanda aras rujukan kadar pinjaman tempatan ketika ini berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu sebanyak 1.75 peratus.
Mohammad berkata, ASNB turut mewujudkan meja bantuan bagi Pembiayaan ASB dan sejak hari pertama, pasukan itu menerima banyak panggilan telefon yang bertanyakan tentang kadar pembiayaan berkenaan.
"Sekiranya seseorang itu mempunyai kemampuan untuk menyimpan dalam ASB sebanyak RM500 sebulan dan ingin mengambil Pembiayaan ASB, kita menggalakkan.
"Tetapi kalau dia tidak berkemampuan untuk bayar pinjaman tersebut setiap bulan, kita tidak menggalakkannya. Ambillah jumlah pinjaman yang mampu dibayar pada setiap bulan,” katanya.
Menurutnya, disebabkan tidak mampu membayar pinjaman bulanan, ada pelabur yang terpaksa menamatkan pembiayaan lebih awal dan ia sebenarnya merugikan.
"Sudahlah bergantung kepada dividen tahunan untuk membayar ansuran bulanan, kita tamatkan pula lebih awal dan akhirnya peminjam tidak mendapat apa-apa, sebaliknya berasa rugi kerana dividen tidak dapat, pelaburan pun tidak ada tetapi ansuran bulanan telah dilunaskan,” katanya.
Mohammad berkata, perkara paling penting adalah mengambil pembiayaan dan komited untuk membayarnya.
"Walaupun kita ambil dalam jumlah yang kecil, misalnya RM30,000, tetapi jika dividen tidak dikeluarkan, ia akan berkembang dalam jangka panjang,” katanya.
Ditanya mengenai bantuan yang diberikan kepada pelabur yang berdepan dengan masalah untuk melunaskan ansuran bulanan, beliau berkata, ASNB tidak menjadi perantara antara pelabur dengan bank, sebaliknya ASNB memberi pendidikan tentang perancangan kewangan agar pelabur yang membuat pelaburan menerusi pembiayaan memahami risiko dihadapi dan menyedari tahap kemampuan kewangan mereka.
Menjelaskan lebih terperinci mengenai kadar pembiayaan, Mohammad menepis dakwaan kononnya pelabur akan mengalami kerugian jika kadar pembiayaan dan kadar dividen adalah sama.
"Katakanlah kadar pembiayaan sebanyak lima peratus, dividen pun lima peratus. Adakah itu kerugian? Mungkin sebab pelabur biasa dapat enam, tujuh, lapan peratus dividen dan bayar kadar pembiayaan lima peratus, jadi mereka rasakan alami kerugian. Sebenarnya ia tidak rugi.
"Kompaun dividen itu akan menjadikan pelabur mendapat pulangan lebih walaupun mereka hanya mendapat lima peratus dividen dengan pembiayaan berkadar lima peratus, syaratnya dividen jangan dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata, hanya sekiranya dividen tidak dikeluarkan, barulah kuasa kompaun dividen akan membantu mengembangkan pelaburan.
Menurutnya, kuasa kompaun adalah keupayaan dividen atau pulangan tahunan untuk menjana pendapatan apabila dibiarkan (tidak dikeluarkan) dalam akaun dari tahun ke tahun (interest on interest).
"Sekiranya pelabur tidak mahu mengambil Pembiayaan ASB tetapi masih mahu melabur secara konsisten dalam ASB setiap bulan, mereka boleh menggunakan kemudahan Auto Labur yang ditawarkan secara percuma menerusi Portal myASNB.
"Potongan bulanan minimum adalah sebanyak RM30 dan pelabur boleh menambah atau membatalkan langganan mereka pada bila-bila masa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad menyarankan semua pelabur untuk menyertai pelbagai program dan kempen sempena sambutan ulang tahun ke-30 ASB yang menawarkan hadiah lumayan bernilai RM225,000 kepada seramai 500 pemenang setiap bulan.
Menurutnya, kempen yang berlangsung dari Ogos lalu hingga Disember depan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM1 juta.
"Pelbagai program dan kempen kita anjurkan, antaranya Kempen Kumpul & Menang, Jom Auto Labur @myASNB, Pertandingan Video Pendek ASB dan Detik Indah ASB.
"Kita menawarkan hadiah utama berupa kereta Proton Saga dan motosikal Yamaha Y15ZR untuk pertandingan Jom Auto Labur@myASNB. Rebutlah peluang ini,” kata beliau.