Perak mohon RM300 juta daripada kerajaan Pusat

Iklan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-23 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
. - Foto Bernama

LUMUT - Kerajaan Perak telah memohon peruntukan sebanyak RM300 juta daripada kerajaan Pusat untuk menaik taraf kemudahan jeti di Pulau Pangkor.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kos terbabit diperlukan bagi kerja pembesaran jeti utama di Terminal Jeti Penumpang Pulau Pangkor, baik pulih jeti kargo dan penambahan zon pendaratan termasuk jeti keluar masuk penduduk tempatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan itu dikemukakan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-23 (PB23) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pulau Pangkor di sini hari ini selepas mengambil kira peningkatan kehadiran pelancong ke pulau bebas cukai itu.

"Sebenarnya sebelum mesyuarat bermula, saya sudah bawa Perdana Menteri melawat ke kawasan sekitar. Beliau sedar bahawa pembesaran jeti ini amat diperlukan, tambahan lagi Pulau Pangkor sudah menjadi destinasi pelancongan utama setelah diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai.

Iklan

"Sejak Januari hingga Ogos lalu, kemasukan pelancong ke Pulau Pangkor mencecah 500,000 orang dan pada cuti umum 31 Ogos sahaja, seramai 30,000 orang direkodkan berkunjung ke Pulau Pangkor," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat NCIA ke-23 (PB23) di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri menyedari keadaan jeti di pulau itu telah banyak menimbulkan masalah, selain kesesakan ia juga menyebabkan kesukaran penduduk dan barangan dagangan dibawa keluar masuk.

Iklan

Atas faktor itu, beliau berkata, pihaknya mengusulkan agar kerajaan Pusat membuka lebih banyak zon-zon pendaratan untuk memudahkan pedagang, pekerja dan penduduk keluar masuk tanpa perlu bersesak dengan pelancong.

"Bagi semua kerja-kerja ini kita telah kemukakan anggaran peruntukan sebanyak RM300 juta dan setakat ini kita menerima maklum balas yang baik dari kerajaan Pusat," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri turut memohon Kementerian Kewangan memberi kelulusan segera terhadap cadangan untuk memendekkan tempoh kelayakan pembelian bebas cukai di Pulau Pangkor daripada 48 jam kepada 24 jam.

Katanya, cadangan itu telah dikemukakan sebelum ini, namun masih menunggu kelulusan Kementerian Kewangan sebelum dibincangkan semula dalam Mesyuarat NCIA hari ini yang turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Pulau Pangkor bukanlah suatu pulau yang besar dan saya kira aktiviti di sini memadai untuk pelancong menginap satu malam sahaja.

"Saya yakin sekiranya kerajaan Pusat benarkan, ia dapat memperbaiki tarikan pulau ini sebagai destinasi membeli belah bebas cukai," katanya.