KUALA NERANG - Sebanyak 20 keluarga sekitar mukim Kurong Hitam, Kampung Perik, Kuala Nerang di sini berdepan banjir kilat setiap kali hujan lebat selama dua jam di kawasan tersebut.
Seorang penduduk, Mohd Azlan Ibrahim, 33, berkata, mereka terpaksa berdepan situasi tersebut sehingga terpaksa mengalihkan perabot dan barangan elektrik ke tempat yang lebih tinggi di dalam rumahnya.
Menurutnya, banjir kilat tersebut berpunca daripada titi dan pembetung tidak sempurna di kampung tersebut yang gagal menampung laluan air banyak setiap kali hujan lebat.
"Titi tersebut dibina tidak mengikut spesifikasi yang sesuai dengan dua tiang di bawahnya sehingga menyebabkan kayu dan buluh yang turut dari bukit-bukit sekitar ke dalam sungai itu tersangkut di titi menyebabkan laluan air tersumbat.
"Pembetung pula adalah jenis lama dibuat daripada besi selain kecil untuk menampung laluan air yang banyak dari kawasan sekitar ini. Jika hujan lebat, air yang melalui pembetung ini juga jadi lambat selain turut dipenuhi kayu dan ranting lama," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perik di sini hari ini.
Mohd Azlan berkata, pada minggu ini sahaja rumahnya sudah empat kali ditenggelami air dan terbaharu adalah pada pagi ini.
"Kami merayu kepada pihak berkuasa untuk membantu kami mengatasi masalah ini yang telah berlarutan sejak tahun 2015.
"Buat sementara waktu, saya dah beberapa penduduk kampung membersihkan kawasan titi sungai dan juga pembetung agar tidak tersumbat dengan membuang kayu dan buluh yang tersangkut yang menjadi punca kepada banjir kilat," katanya.
Seorang lagi penduduk, Siti Bedah Ahmad, 65, pula berharap pihak berwajib dapat membantu penduduk di situ menyelesaikan masalah tersebut.
Menurutnya, pada minggu ini sahaja, sudah dua kali rumahnya ditenggelami air sedalam dua meter.
"Saya sudah tidak larat untuk membersihkan rumah setiap kali banjir berlaku," katanya.