Hajiji paling sesuai dicalon Ketua Menteri Sabah

Iklan
Mohamed Azmin berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Rapat Umum Pemimpin Bersama Rakyat di Bilik Gerakan PN Pusat Daerah Mengundi Tambalang Kampung Bolong Baru Tuaran, hari ini. - Foto FB Azmin Ali

TUARAN - Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor dilihat antara individu yang sesuai dicalonkan sebagai Ketua Menteri Sabah sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rakyat negeri ini memerlukan seorang tokoh yang berpengalaman luas untuk mentadbir sebuah kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

"Saya mendengar dengan tekun semua ucapan beliau (Hajiji) dan sememangnya beliau layak untuk diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah pada 26 September nanti.

"Ini bukan pandangan saya seorang, malah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin ketika berada di Sabah beberapa hari lalu juga membuat kenyataan sama berdasarkan keperibadian beliau, watak beliau dan khidmat kepada rakyat selama ini,” katanya.

Iklan

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Rapat Umum Pemimpin Bersama Rakyat di Bilik Gerakan PN Pusat Daerah Mengundi Tambalang Kampung Bolong Baru Tuaran.

Katanya, khidmat calon Perikatan Nasional bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman itu hampir tujuh penggal dan sememangnya mempunyai pengalaman yang amat luas.

Iklan

"Mungkin bagi kita generasi muda, tempoh itu memang panjang tetapi bagi saya rakyat khususnya di kawasan ini masih memerlukan khidmat beliau sebagai wakil rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, PRN kali ini dilihat sebagai satu perkara yang unik di mana sebuah kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat sebelum ini ‘runtuh’ tidak sampai satu penggal pemerintahan.

"Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, rakyat memberi mandat kepada kerajaan baharu yang dipimpin oleh Parti Warisan Sabah (Warisan), tetapi baru dua tahun rakyat kembali bangkit semula.

"(Datuk Seri) Shafie juga telah hilang majoriti di DUN untuk menjadi Ketua Menteri,” katanya.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin berkata, kerajaan amat komited untuk melaksanakan perkara-perkara yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Tan Sri Muhyiddin sebaik diangkat sebagai Perdana Menteri antara agenda pertama yang beliau mahu selesaikan adalah MA63 di mana ini adalah hak-hak orang Sabah dan Sarawak.

"Anda boleh pergi ke Sarawak, orang Sarawak gembira kerana inilah kali pertama seorang Perdana Menteri yang benar-benar prihatin kepada rakyat Sarawak dan memahami MA63 seterusnya melaksanakan kandungan berkenaan.

"Jika rakyat Sabah mahu lebih makmur dan sejahtera, tolak Warisan dan sokong PN dalam PRN akan datang,” katanya.