TAPAH - Pegawai atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didapati memberi arahan kepada anggota bawahannya melakukan kerja-kerja peribadi serta penyalahgunaan aset kerajaan akan dikenakan tindakan sewajarnya.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya berkata, antara kesalahan lain yang dikenal pasti sering kali dilakukan ialah salah guna kuasa, bergaduh atau tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa bertugas.
"Sebagai contoh, ada pegawai atasan yang memberi arahan kepada anggota bawahan melakukan tugas-tugas untuk kepentingan peribadi seperti menghantar isterinya ke pasar. Ada juga anggota polis yang bergaduh dengan orang awam disebabkan hal-hal kecil.
"Sebenarnya, 95 peratus warga PDRM merupakan orang yang jujur, baik dan mahu bekerja, hanya segelintir sahaja tersimpang mungkin disebabkan masalah peribadi, kelemahan karakter atau pengaruh orang sekeliling," katanya pada sidang akhbar sempena Program Outreach Psikologi dan Spiritual (MyPS) di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di sini hari ini.
Zamri berkata, apabila sesuatu salah laku dilaporkan, pihaknya akan menyiasat secara menyeluruh dan sekiranya terdapat bukti jelas, pegawai atau anggota terbabit akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pelbagai teguran dan peringatan telah diberikan oleh kepimpinan tertinggi PDRM namun ada juga pegawai dan anggota yang ingkar dan tidak mahu berubah.
Sementara itu, mengulas mengenai program MyPS, Zamri berkata, program itu bertujuan mendampingi warga PDRM bagi mempertingatkan kualiti perkhidmatan dan integriti.
"Kita bercadang untuk meluaskan lagi program ini bagi menyemai nilai-nilai murni sekali gus menangani isu-isu moral yang berlaku dalam kalangan polis," katanya.
Pelbagai program telah dijalankan sepanjang dua hari bermula semalam seperti perkhidmatan psikologi dan kaunseling, klinik solat dan al-Quran, Ujian Psikologi, Sukaneka bersama keluarga, sesi ziarah ke rumah dan beberapa sesi ceramah di samping mendekati dan menyantuni warga Batalion 3 PGA Bidor. - Bernama