PUTRAJAYA - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) hari ini membuat laporan polis ke atas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman kerana mendakwa Perikatan Nasional (PN) tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Ketua Biro Tugas-Tugas Khas Armada Malaysia, Hariz Faisal Ismail berkata, dakwaan yang dilemparkan kedua-dua individu terbabit boleh menimbulkan ketidakpercayaan rakyat terhadap kerajaan serta agensi kerajaan seperti RoS dan ia boleh mencemarkan imej sistem demokrasi di Malaysia.
Semalam, Shamsul Iskandar dilaporkan mencabar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan bukti kelulusan pendaftaran PN, manakala Syed Badli Shah pula dilaporkan mendakwa hasil semakan yang dibuat melalui laman sesawang RoS tidak menemui rekod pendaftaran PN.
ARTIKEL BERKAITAN: PKR cabar Muhyiddin buktikan status pendaftaran PN
Gabungan PN telah didaftarkan dan diluluskan, kata RoS
RoS menerusi satu kenyataan semalam memaklumkan pendaftaran PN telah diluluskan dan berkuat kuasa pada 7 Ogos 2020 di bawah kategori politik selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).
RoS juga memaklumkan kelulusan PN hanya akan tertera dalam carian umum laman sesawang RoS pada awal Oktober 2020 memandangkan pengemaskinian kelulusan sesebuah pertubuhan dalam laman sesawang adalah secara automatik setiap dua bulan.
Hariz yang ditemui media untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini hari ini berkata, Shamsul Iskandar dan Syed Badli Shah juga perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kerana dakwaan dibuat mereka itu jelas salah.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan yang dibuat itu. - Bernama